MELAKA 2 Dis– Seorang wanita berstatus ibu tunggal bersama kekasihnya ditahan Jabatan Agama Islam Melaka (JAIM) selepas dipercayai berkhalwat di dalam sebuah rumah di sini, malam semalam.
Kejadian itu dikongsi Bahagian Penguat Kuasa JAIM menerusi video berdurasi 59 saat di laman TikTok rasmi agensi berkenaan, hari ini.
Menurut JAIM, serbuan dilakukan selepas menerima aduan awam mengenai pasangan tersebut yang disyaki berkurung dan menimbulkan syak.
“Ketika serbuan dilakukan, sepasukan pegawai penguat kuasa agama (PPA) JAIM mendapati wanita berstatus ibu tunggal itu berdua-duaan dengan kekasihnya di tingkat atas rumah.
“Hasil soal siasat mendapati mereka gagal mengemukakan sebarang dokumen atau bukti menunjukkan mereka mempunyai hubungan suami isteri atau mahram yang sah,” katanya.
Kedua-dua individu terbabit kemudian dibawa ke Pejabat JAIM untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 53 Enakmen Kesalahan Syariah Negeri Melaka 1991.
🔗 Source: https://www.mediatelus.com/detail/12867

Leave a Reply