GUA MUSANG 3 Dis – Seorang lelaki nyaris maut selepas kenderaan yang dipandunya terjunam ke dalam sebuah gaung akibat kejadian tanah runtuh di Kilometer 45, Jalan Gua Musang–Lojing berhampiran Pos Blau di sini, awal pagi tadi, namun mangsa bernasib baik apabila berjaya diselamatkan.
Dalam kejadian sekitar jam 5 pagi itu, mangsa dipercayai melalui laluan yang sudah ditutup sejak jam 12 tengah malam sebelum kenderaannya terjatuh ke dalam gaung di kawasan tanah runtuh terbabit.
Insiden itu hanya disedari apabila seorang pekerja Roadcare (M) Sdn Bhd yang sedang menjalankan pemantauan terdengar jeritan meminta tolong daripada mangsa dari dalam gaung.
Difahamkan, mangsa dalam perjalanan dari Cameron Highlands, Pahang menuju ke Pasir Putih, Gua Musang ketika kemalangan itu berlaku.
Mangsa yang berjaya diselamatkan anggota bomba kemudiannya dibawa ke Klinik Kesihatan Pos Brooke untuk mendapatkan rawatan awal.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Gua Musang, Superintendan Sik Choon Foo mengesahkan kejadian tersebut ketika dihubungi.
🔗 Source: https://www.mediatelus.com/detail/12889

Leave a Reply