Guru didakwa cuba bunuh isteri, mohon jaminan kerana masih berkhidmat

BALIK PULAU 4 Dis – Seorang guru lelaki didakwa di Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas tuduhan cuba membunuh isterinya menggunakan sebilah pisau pada 27 Ogos lalu.

Tertuduh, Muhammad Nazmi Izzuddin Muhamad Zubairi, 30, bagaimanapun mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Ahzal Fariz Ahmad Khairuddin.

Mahkamah merekodkan pengakuan itu selepas menerima laporan psikiatri Hospital Bahagia, Tanjung Rambutan, yang mengesahkan tertuduh layak untuk dibicarakan.

Ketika pendakwaan pada 4 September lalu, tiada pengakuan direkodkan kerana tertuduh didapati tidak memahami pertuduhan yang dibacakan dan gagal mengingati nombor kad pengenalannya.

Mengikut pertuduhan, Muhammad Nazmi didakwa cuba membunuh isterinya berusia 28 tahun menggunakan sebilah pisau di sebuah rumah di Taman Tunas Muda, Sungai Ara, Bayan Lepas sekitar jam 5.45 pagi pada 27 Ogos lalu.

Kes disiasat mengikut Seksyen 307 Kanun Keseksaan, yang membawa hukuman penjara sehingga 20 tahun atau sebatan jika sabit kesalahan.

Timbalan Pendakwa Raya, Asma Amira Shahidani, tidak menawarkan jaminan atas faktor keselamatan mangsa dan saksi.

Bagaimanapun, peguam bela Muhaimin Hashim memohon jaminan dengan alasan anak guamnya merupakan penjawat awam yang perlu mengekalkan jawatannya dan sedang menjalani rawatan major depressive disorder (MDD) serta perlu mengambil ubat Mirtazapine setiap hari.

“Jika jaminan tidak diberikan, beliau berisiko ditamatkan perkhidmatan dan masa depannya akan terjejas,” katanya.

Mahkamah membenarkan jaminan RM15,000 dengan syarat tertuduh melapor diri di balai polis terdekat dan dilarang mendekati mangsa sepanjang prosiding.

Kes ditetapkan untuk serahan dokumen pada 6 Januari depan.

Di luar mahkamah, peguam bela Yazid Khairul Azman memaklumkan bahawa wang jaminan akan ditanggung oleh keluarga tertuduh dan anak guamnya tidak akan tinggal berdekatan dengan isterinya, selaras arahan mahkamah.

🔗 Source: https://www.mediatelus.com/detail/12911

Comments

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *