KUALA LUMPUR 4 Dis – Ahli Parlimen Kota Bharu, Datuk Seri Takiyuddin Hassan, menuntut prosiding yang adil dengan meminta usul menggantungnya selama enam bulan dipinda supaya dirujuk terlebih dahulu kepada Jawatankuasa Hak dan Kebebasan Parlimen.
Takiyuddin berkata, sebagai ahli Parlimen, beliau berhak untuk membela diri dan menegaskan kesediaannya untuk menghadiri prosiding jawatankuasa berkenaan.
“Berikan saya prosiding yang adil, berikan saya hak untuk bersuara dan hak untuk mempertahankan diri sendiri,” katanya ketika membahaskan usul berkenaan di Dewan Rakyat, hari ini.
Ketua Whip Perikatan Nasional (PN) itu turut menyatakan kesediaannya untuk mengarahkan ahli-ahli Parlimen pembangkang menerima keputusan jika beliau dirujuk kepada jawatankuasa tersebut.
“Saya profesional, saya gentleman. Saya tak takut dihadapkan ke mana-mana jawatankuasa.
“Saya sebagai orang yang dituduh… kalau menteri boleh meminda usul ini dan merujuk saya kepada Jawatankuasa Hak dan Kebebasan, saya akan arahkan rakan-rakan terima dan tidak perlu undi belah bahagi,” katanya.
Mengulas lanjut, beliau berkata Dewan Rakyat bukan tempat sesuai untuk membela diri kerana beliau perlu membawa saksi dan dokumen berkaitan.
“Di sini mana mungkin saya bawa saksi dari Rusila. Ini hak saya. Saya menuntut hak kebebasan dan keadilan kepada saya. Adakah ini standard kita mengendalikan kes?” soalnya.
Usul menggantung Takiyuddin selama enam bulan dibawa oleh Timbalan Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Dr Shamsul Anuar Nasarah, susulan dakwaannya bahawa latihan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) disamakan dengan peristiwa Memali.
Terdahulu, suasana Dewan Rakyat kecoh apabila beberapa wakil pembangkang membantah usul tersebut yang didakwa tidak mengikut peraturan mesyuarat.
Ketua Pembangkang, Datuk Seri Hamzah Zainudin, bersama beberapa ahli Parlimen PN termasuk Datuk Seri Ronald Kiandee (Beluran) dan Datuk Che Mohamad Zulkifly Jusoh (Besut), turut membangkitkan persoalan mengenai peraturan mesyuarat yang membolehkan usul itu dibawa.
Ronald juga mempertikaikan mengapa Takiyuddin tidak dirujuk kepada Jawatankuasa Hak dan Kebebasan terlebih dahulu sebelum usul tersebut dibentangkan.
🔗 Source: https://www.mediatelus.com/detail/12912

Leave a Reply