MPV terbabas rempuh gerai, warga emas cedera

KUANTAN 8 Dis – Seorang warga emas cedera selepas kenderaan pelbagai guna (MPV) yang dipandunya terbabas sebelum merempuh sebuah gerai makan di Kampung Kuala Pahang, pagi tadi.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Peramu, Wan Samsul Effendi Wan Mahmud berkata, kejadian berlaku kira-kira jam 7.30 pagi ketika lelaki berusia 74 tahun itu dalam perjalanan dari rumahnya di Kampung Bentan menuju ke Kampung Kuala Pahang.

Menurutnya, lapan anggota BBP Peramu bergegas ke lokasi sebaik menerima panggilan kecemasan pada jam 7.47 pagi.

“Sebaik tiba, bomba mendapati mangsa sudah dikeluarkan orang awam dari kenderaan. MPV yang dipandu mangsa terbalik dan beliau mengalami kecederaan di kepala serta tangan,” katanya.

Mangsa kemudian dihantar ke Hospital Pekan untuk mendapatkan rawatan lanjut.

🔗 Source: https://www.mediatelus.com/detail/12976

Comments

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *