TANGKAK 8 Dis – Seorang wanita maut selepas kenderaan pelbagai guna (MPV) Nissan Grand Livina yang dipandunya hilang kawalan sebelum terjunam ke dalam Sungai Tanjung Agas, di sini hari ini.
Dalam kejadian pada pukul 3.48 petang itu, mangsa berusia lingkungan 20-an ditemui meninggal dunia selepas terperangkap di dalam kenderaan yang tenggelam.
Komander Operasi Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Tangkak, Pegawai Bomba Kanan I Jahairi Shukor berkata, seramai 10 anggota bersama sebuah jentera Fire Rescue Tender (FRT) dan satu Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS) dikejarkan ke lokasi.
“Kemalangan melibatkan kereta Nissan Grand Livina yang terbabas ke dalam sungai. Seorang wanita berusia 20-an terperangkap dalam kenderaan.
“Mangsa berjaya dikeluarkan pasukan bomba dan disahkan meninggal dunia oleh pasukan perubatan,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Menurutnya, mayat mangsa diserahkan kepada polis untuk tindakan lanjut, dan operasi mencari serta menyelamat ditamatkan pada pukul 4.40 petang.
🔗 Source: https://www.mediatelus.com/detail/12979

Leave a Reply