Sunway Square Mall ubah dasar mesra haiwan, patuh larangan kerajaan negeri

PETALING JAYA 19 Dis – Sunway Square Mall mengambil tindakan serta-merta mengubah dasar mesra haiwan susulan arahan kerajaan negeri yang mengekalkan larangan membawa haiwan peliharaan ke pusat beli-belah di Selangor.

Menerusi satu kenyataan, pengurusan pusat beli-belah itu memaklumkan haiwan peliharaan tidak lagi dibenarkan berada di dalam kawasan dalaman tertutup premis bagi memastikan persekitaran yang selamat, bersih dan selesa kepada semua pengunjung.

Menurut kenyataan berkenaan, langkah itu diambil sebagai pematuhan terhadap arahan pihak berkuasa negeri serta demi kepentingan bersama.

Bagaimanapun, haiwan peliharaan masih dibenarkan berada di kawasan luar yang telah ditetapkan sebagai zon mesra haiwan iaitu di Squarrel’s Playground yang terletak di Sunway South Quay Lake.

Selain itu, haiwan peliharaan juga dibenarkan menemani pemilik masing-masing melalui laluan tertentu antara tempat letak kereta pusat beli-belah di aras B3 dan B4 serta zon luar yang ditetapkan, tertakluk kepada pemantauan pasukan keselamatan pusat beli-belah.

“Kami memohon maaf atas sebarang kesulitan yang berlaku dan menghargai kefahaman orang ramai ketika kami mematuhi arahan kerajaan negeri, sambil terus berusaha memberikan perkhidmatan terbaik kepada semua pengunjung,” menurut kenyataan itu.

Sebelum ini, Exco Kerajaan Tempatan dan Pelancongan Selangor, Datuk Ng Suee Lim dilaporkan berkata larangan membawa haiwan peliharaan ke pusat beli-belah di negeri ini masih kekal berkuat kuasa.

Bagaimanapun, beliau memaklumkan kerajaan negeri akan meneliti semula garis panduan sedia ada bagi memastikan keharmonian masyarakat terus terpelihara.

Terdahulu, tular di media sosial gambar papan tanda di pusat beli-belah berkenaan yang memaparkan kenyataan membenarkan kemasukan haiwan peliharaan, sekali gus mencetuskan kekeliruan dalam kalangan orang ramai.

🔗 Source: https://www.mediatelus.com/detail/13191

Comments

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *