REMBAU 21 Dis – Polis percaya wanita yang mayatnya ditemukan dalam sebuah beg dan ditanam berhampiran sebuah rumah di Kampung Batu 4 Pedas, di sini, kemungkinan meninggal dunia di Ampang, Selangor sebelum dibawa ke lokasi penemuan.
Timbalan Ketua Polis Negeri Sembilan, Senior Asisten Komisioner Muhammad Idzam Jaafar, berkata siasatan awal mendapati mangsa dipercayai dicekik sebelum meninggal dunia susulan pergaduhan yang berlaku di kediamannya di Ampang.
“Wanita berkenaan dipercayai meninggal dunia di Ampang, Selangor dan mayatnya dibawa ke Rembau.
“Hasil soal siasat dan keterangan, kami dapati mangsa dan suspek dikatakan bergaduh di rumah mangsa di Ampang. Difahamkan mangsa dicekik akibat pergaduhan,” katanya ketika dihubungi.
Sebelum ini, polis dilaporkan menahan dua lelaki masing-masing di Melaka dan di Genting Sempah, Pahang, susulan penemuan mayat wanita berkenaan.
Terdahulu, Polis Daerah Ampang turut meminta orang ramai menyalurkan maklumat berkaitan kehilangan seorang wanita, Suri Narudin, 53, yang dilaporkan hilang sejak 8 Disember lalu.
Dalam perkembangan sama, Muhammad Idzam berkata proses tuntutan mayat masih belum dapat dilakukan selagi identiti mangsa belum disahkan secara rasmi.
Walaupun siasatan menjurus kepada wanita yang dilaporkan hilang di Ampang itu, katanya pengesahan identiti tetap diperlukan.
“Sampel asid deoksiribonukleik (DNA) telah diambil daripada beberapa ahli keluarga dan dihantar ke Jabatan Kimia di Petaling Jaya, Selangor. Keputusan bergantung kepada pihak agensi berkenaan.
“Buat masa ini proses pengecaman mayat tidak berjaya kerana keadaannya sudah mereput, jadi kami bergantung sepenuhnya kepada keputusan laporan DNA,” katanya, sambil tidak menolak kemungkinan proses itu mengambil sedikit masa.
🔗 Source: https://www.mediatelus.com/detail/13218

Leave a Reply