PEKAN 22 Dis – Seorang kanak-kanak lelaki berusia 12 tahun lemas dalam tali air sawah ketika mencari ikan di Kampung Permatang Tepung, Merchong, Nenasi di sini semalam.
Ketua Polis Daerah Pekan, Superintendan Mohd Zaidi Mat Zin, berkata mangsa, Muhammad Alif Fahmi Abdullah yang juga murid tahun enam.
Katanya, berdasarkan laporan, mangsa bersama ibu serta tiga adiknya ke kawasan tali air sawah untuk mencari ikan sebelum pulang jam 6 petang.
“Bagaimanapun, mangsa bersama adik lelaki berusia sembilan tahun serta dua rakan kembali ke tali air tanpa pengetahuan bapa dan ibu mangsa.
“Ketika mencari ikan di tali air itu, mangsa dihanyutkan arus sebelum rakan meminta bantuan penduduk kampung dan pencarian dilakukan.
“Mangsa kemudiannya ditemukan kira-kira dua meter di dalam air iaitu kira-kira 20 meter dari tempat kejadian dalam keadaan tidak sedarkan diri sebelum dibawa pulang ke rumah,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau berkata, pegawai perubatan Klinik Kesihatan Nenasi membuat pemeriksaan dan mengesahkan bahawa mangsa sudah meninggal dunia.
Katanya, mayat mangsa dihantar ke Unit Forensik Hospital Daerah Pekan untuk bedah siasat.
“Hasil laporan bedah siasat mengesahkan bahawa sebab kematian mangsa adalah berpunca daripada lemas,” katanya.
🔗 Source: https://www.mediatelus.com/detail/13237

Leave a Reply