IPOH 22 Dis – Kesesakan trafik sejauh 10 kilometer dilaporkan di Lebuhraya Utara-Selatan (PLUS), laluan antara Ipoh ke Simpang Pulai selepas satu kemalangan melibatkan sebuah lori tangki dan tiga kereta di Kilometer 281.5 pada Isnin.
PLUS Malaysia Berhad menerusi aplikasi X memaklumkan, lori tangki tersebut melintang di tengah lebuh raya menyebabkan beberapa lorong terhalang. Kemas kini trafik setakat jam 1.03 petang mencatatkan kesesakan kira-kira 10 kilometer bagi arah utara dan 5 kilometer bagi arah selatan.
Pengguna lebuh raya dinasihatkan mematuhi arahan pengawal trafik serta papan tanda amaran di lokasi kejadian, selain digalakkan menggunakan laluan alternatif seperti Tol Gopeng atau Tol Tapah bagi mengelakkan kesesakan teruk.
Setakat ini, tiada maklumat rasmi mengenai kecederaan atau mangsa yang terlibat, manakala siasatan lanjut sedang dijalankan. PLUS turut menasihatkan orang ramai sentiasa berhati-hati dan merancang perjalanan lebih awal bagi memastikan keselamatan serta kelancaran perjalanan.
🔗 Source: https://www.mediatelus.com/detail/13236

Leave a Reply