Pas tegaskan kuasa pengampunan Diraja tidak boleh dicabar – Takiyuddin

KUALA LUMPUR 23 Dis – Setiausaha Agung Pas, Datuk Seri Takiyuddin Hassan, menegaskan bahawa sebarang usaha atau percubaan untuk menempatkan kuasa budi bicara pengampunan Diraja di bawah kawalan kehakiman atau birokrasi berpotensi mencabul ketetapan Perlembagaan Persekutuan.

Beliau berkata, parti itu memandang serius keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur yang menolak permohonan semakan kehakiman bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak, bagi menjalani baki hukuman penjara di bawah tahanan rumah menerusi Titah Adendum Yang di-Pertuan Agong (YDPA) ke-16.

“Sebarang keputusan, arahan atau petunjuk yang dibuat oleh YDPA dalam menjalankan kuasa budi bicara di bawah peruntukan Perlembagaan adalah jelas dan berada dalam kerangka undang-undang tertinggi negara.

“Justeru, sebarang kekaburan pentadbiran, kehilangan dokumentasi, pendedahan bertangguh atau pengakuan berpilih-pilih tidak boleh digunakan untuk menangguhkan atau mempersoalkan kesahihan tindakan Diraja. Perbuatan sedemikian hanya akan menghakis wibawa, kedaulatan serta kedudukan Raja-Raja,” tegasnya dalam kenyataan pada Selasa.

Beliau menegaskan bahawa isu Titah Adendum yang merupakan sebahagian daripada keputusan langsung YDPA ke-16 mestilah diterima, dilaksanakan dan diberikan kuasa undang-undang secara serta-merta tanpa campur tangan kehakiman atau pentadbiran.

Sebelum ini, Mahkamah Tinggi memaklumkan bahawa tahanan rumah seperti yang dipohon Najib tidak boleh dilaksanakan kerana tiada peruntukan undang-undang bagi mekanisme itu dijalankan di negara ini. Hakim Alice Loke Yee Ching menolak permohonan Najib, 72, untuk memaksa kerajaan melaksanakan Titah Adendum supaya beliau dapat menjalani baki hukuman penjara di rumah.

Takiyuddin turut menekankan bahawa prinsip Perlembagaan tidak boleh dilaksanakan secara selektif mengikut keperluan politik atau individu tertentu. “Perlembagaan tidak menerima sebarang bentuk hierarki atau kelas dalam kalangan rakyat, khususnya dalam pelaksanaan kuasa pengampunan Diraja.

“Kewujudan persepsi layanan tidak setara pasti akan merosakkan kepercayaan awam terhadap sistem pemerintahan berasaskan Perlembagaan dan undang-undang,” katanya.

Beliau menambah, Pas menyokong penuh hak Najib untuk memfailkan rayuan ke mahkamah lebih tinggi, selaras dengan hak rayuan yang merupakan jaminan serta perlindungan asasi setiap individu, dan mesti dihormati serta dijalankan secara bebas, adil dan tanpa prejudis.

“Akhirnya, Pas menggesa semua cabang kerajaan dan pihak berkuasa berkaitan bertindak dengan berani, telus dan setia berdasarkan prinsip Perlembagaan agar keadilan dapat ditegakkan secara konsisten dan kehormatan serta kedaulatan YDPA dan Raja-Raja terus terpelihara,” ujarnya.

🔗 Source: https://www.mediatelus.com/detail/13258

Comments

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *