Di tengah ketegangan politik antara UMNO dan DAP yang kembali tercetus susulan keputusan Mahkamah Tinggi menolak pelaksanaan Titah Adendum bagi membolehkan bekas Perdana Menteri, Najib Razak, menjalani baki hukuman penjara di bawah tahanan rumah, seorang pemimpin DAP tampil membawa nada berbeza dengan menekankan keperluan melihat isu tersebut dari sudut kemanusiaan dan kematangan politik.
Menerusi kenyataan panjang yang dimuat naik di Facebook, Ong Kian Ming menegaskan bahawa keputusan Mahkamah Tinggi itu selaras dengan Perkara 42 Perlembagaan Persekutuan kerana Titah Adendum berkenaan tidak pernah dibincangkan atau diputuskan dalam Mesyuarat Lembaga Pengampunan. Justeru, katanya, keputusan tersebut wajar dihormati sepenuhnya sebagai ketetapan undang-undang.
Bagaimanapun, Ong berpandangan tiada keperluan untuk mana-mana pihak ‘meraikan’ keputusan mahkamah atau mengeruhkan lagi suasana politik. Menurutnya, Najib telah menjalani hukuman penjara lebih tiga tahun sejak 23 Ogos 2022, selain berdepan isu kesihatan yang berulang kali dibangkitkan oleh ahli keluarganya.
Beliau mengingatkan bahawa Najib merupakan satu-satunya bekas Perdana Menteri Malaysia yang pernah menjalani hukuman penjara, dan situasi itu bukan mudah, lebih-lebih lagi pada usia lanjut. Ong turut menzahirkan empati terhadap keluarga Najib, khususnya anak-anak dan cucu-cucunya, sambil menegaskan bahawa rasa simpati itu tidak bermaksud menafikan kesalahan yang telah berlaku.
🔗 Source: https://thereporter.my/pemimpin-dap-cadang-perbincangan-pengampunan-penuh-najib/

Leave a Reply