Rayuan tangguh hukuman ditolak, ibu Zayn Rayyan kekal dipenjara

SHAH ALAM 23 Dis – Mahkamah Tinggi di sini pada Selasa menolak permohonan Ismanira Abdul Manaf untuk menangguhkan hukuman penjara lima tahun yang dijatuhkan terhadapnya atas kesalahan mengabaikan anaknya, Allahyarham Zayn Rayyan Abdul Matin, dua tahun lalu.

Hakim, Datuk Aslam Zainuddin tidak menerima rayuan Ismanira, 30, selaku perayu yang memohon supaya dilepaskan sementara menunggu pendengaran rayuan terhadap sabitan dan hukuman berkenaan.

“Setelah meneliti afidavit pemohon dan responden serta hujahan bertulis kedua-dua pihak termasuk mendengar hujahan lisan, mahkamah memutuskan permohonan penangguhan hukuman ini ditolak.

“Mahkamah mendapati tiada keadaan khas atau istimewa untuk membenarkannya,” kata hakim.

Sebaik keputusan dibacakan, Ismanira yang memakai pelitup muka dilihat menundukkan kepala, manakala suaminya, Zaim Ikhwan Zahari serta ahli keluarga lain kelihatan kecewa di galeri mahkamah.

Pendakwaan selaku responden diwakili Timbalan Pendakwa Raya, Mohd Izham Ali dan Ahmad Iqbal Azman, manakala perayu diwakili peguam Haresh Mahadevan, Ramzani Idris dan Lavanesh Haresh.

Mengikut pertuduhan pindaan, Ismanira didakwa sebagai individu yang mempunyai pemeliharaan terhadap Zayn Rayyan, 6, telah mengabaikan kanak-kanak autisme itu dengan cara yang mungkin menyebabkan kecederaan fizikal.

Kesalahan tersebut didakwa berlaku di kawasan Blok R, Pangsapuri Idaman, Damansara Damai sehingga ke kawasan sungai berdekatan antara jam 12 tengah hari, 5 Disember 2023 hingga jam 9.55 malam keesokannya.

Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 31(1) akta sama yang memperuntukkan hukuman denda tidak melebihi RM50,000 atau penjara sehingga 20 tahun atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Pada 6 Disember 2023, Zayn Rayyan ditemukan meninggal dunia di anak sungai berhampiran Pangsapuri Idaman, Damansara Damai kira-kira jam 10 malam, selepas dilaporkan hilang sehari sebelumnya.

Mangsa ditemukan terbaring kira-kira 200 meter dari blok kediamannya, sekali gus mencetuskan perhatian dan simpati masyarakat seluruh negara.

Sebelum ini, pada 31 Oktober, Hakim Dr Syahliza Warnoh mensabitkan Ismanira bersalah dan menjatuhkan hukuman penjara selama lima tahun.

Mahkamah turut memerintahkan tertuduh dihantar ke Penjara Wanita Kajang serta-merta selepas menolak permohonannya untuk menangguhkan hukuman sementara menunggu rayuan di Mahkamah Tinggi.

Hakim berkenaan memutuskan tertuduh gagal mengemukakan sebarang faktor keistimewaan yang membolehkan mahkamah menggunakan budi bicara untuk menangguhkan hukuman tersebut.

🔗 Source: https://www.mediatelus.com/detail/13256

Comments

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *