KUALA LUMPUR 24 Dis – Jurang kos sara hidup antara negeri terus ketara apabila Selangor dikenal pasti mencatat kos kehidupan wajar tertinggi di Malaysia bagi semua saiz isi rumah, manakala Kelantan, Kedah dan Perlis berada dalam kelompok negeri dengan kos terendah.
Perkara itu didedahkan menerusi Indikator Kos Sara Hidup Malaysia 2024 yang dikeluarkan Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) hari ini.
Penerbitan berkenaan memperkenalkan Indeks Perbelanjaan Asas Kehidupan Wajar (PAKW), iaitu indikator baharu untuk mengukur tahap perbelanjaan minimum yang diperlukan bagi mengekalkan kehidupan wajar merentas negeri, daerah pentadbiran dan ibu negeri.
Indeks tersebut menggunakan Kuala Lumpur sebagai rujukan dengan nilai 100, manakala lokasi lain dinilai secara relatif, dengan skor lebih rendah menunjukkan keperluan perbelanjaan lebih rendah dan skor lebih tinggi mencerminkan kos kehidupan wajar yang lebih mahal.
Ketua Perangkawan, Datuk Seri Dr Mohd Uzir Mahidin berkata, analisis Indeks PAKW 2024 menunjukkan perbezaan jelas kos kehidupan wajar antara negeri bagi semua saiz isi rumah.
“Bagi isi rumah seorang, Selangor mencatat indeks tertinggi pada 92.0 mata indeks, diikuti Pulau Pinang (84.2) dan Wilayah Persekutuan Putrajaya (83.1), manakala Kelantan, Sarawak dan Kedah merekodkan nilai terendah,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Menurut beliau, corak hampir sama turut direkodkan bagi isi rumah dua, tiga dan empat orang, dengan Selangor kekal mencatat indeks tertinggi, manakala Kelantan, Kedah, Perlis dan Sabah berada pada paras lebih rendah tetapi masih mencerminkan kehidupan yang wajar.
Beliau berkata, berdasarkan analisis itu, kos kehidupan wajar bagi isi rumah seorang di Kelantan adalah 46.3 peratus lebih rendah berbanding Kuala Lumpur, manakala bagi isi rumah empat orang di Perlis, perbelanjaan wajar adalah 39.1 peratus lebih rendah berbanding ibu negara.
Di peringkat daerah pentadbiran, Mohd Uzir berkata hanya Petaling di Selangor mencatat Indeks PAKW melebihi Kuala Lumpur bagi semua saiz isi rumah, manakala Pantu di Sarawak dikenal pasti sebagai daerah dengan kos kehidupan wajar terendah.
Katanya, bagi isi rumah seorang, kos kehidupan wajar di Pantu adalah 72.2 peratus lebih rendah berbanding Kuala Lumpur, manakala bagi isi rumah empat orang, perbezaannya mencecah 68.1 peratus.
Mohd Uzir berkata di peringkat ibu negeri pula, Shah Alam merekodkan Indeks PAKW tertinggi bagi semua saiz isi rumah dan melepasi nilai rujukan Kuala Lumpur, manakala Kangar kekal sebagai ibu negeri dengan kos kehidupan wajar terendah.
Selain itu, beliau memaklumkan bahawa Kalkulator MyPAKW 2024 turut dikemas kini bagi membolehkan isi rumah menganggarkan perbelanjaan kehidupan wajar berdasarkan lokasi dan demografi, dengan aplikasi mudah alih dijangka tersedia mulai Februari 2026.
Sebelum ini, media melaporkan Mesyuarat Majlis Tindakan Sara Hidup Negara pada 19 Mac lalu bersetuju supaya DOSM membangunkan indikator baharu bagi mengukur kos sara hidup rakyat hingga ke peringkat daerah bagi membantu kerajaan merangka pelaksanaan program yang lebih tepat dan berkesan.
🔗 Source: https://www.mediatelus.com/detail/13295

Leave a Reply