KUALA LUMPUR 26 Dis – Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) menaruh keyakinan tinggi terhadap kredibiliti bekas ketua jurulatih kebangsaan, Datuk Ong Kim Swee untuk memulihkan dan memperkukuh kekuatan bola sepak negara di peringkat akar umbi.
Keyakinan itu susulan pelantikan rasmi Ong Kim Swee, 55, sebagai Pengarah Teknikal Program Pembangunan Bola Sepak Negara (NFDP) yang baharu berkuat kuasa 1 Disember lalu, menggantikan Oscar Francisco Gonzalez.
Menurut FAM dalam satu kenyataan, pelantikan tersebut diputuskan oleh Jawatankuasa Teknikal NFDP yang dipengerusikan Timbalan Presiden FAM, Datuk S Sivasundaram bersama Majlis Sukan Negara (MSN).
“Ong Kim Swee yang juga Presiden Persatuan Jurulatih Bolasepak Malaysia (PJBM) dilihat sebagai calon paling layak berdasarkan reputasi cemerlang serta pengalaman luas dalam pembangunan dan kejurulatihan bola sepak,” menurut kenyataan itu.
FAM memaklumkan, pengalaman Ong Kim Swee merangkumi peranan penting bermula di peringkat Sekolah Sukan Bukit Jalil (SSBJ), menerajui skuad Harimau Muda dan seterusnya dilantik sebagai ketua jurulatih Harimau Malaya pada 2016.
Rekod kejurulatihannya turut menyaksikan beliau membawa pasukan bimbingan menjuarai Piala Belia 2007, Liga Premier 2009, selain melakar sejarah memenangi pingat emas Sukan SEA 2011 dan Pestabola Merdeka 2013.
Beliau juga membantu skuad negara meraih pingat perak Sukan SEA 2017, mara ke suku akhir Kejohanan Bawah 23 Tahun AFC 2018 serta layak ke pusingan kalah mati Sukan Asia 2018.
Dari sudut pengurusan teknikal, Ong Kim Swee pernah menggalas tanggungjawab sebagai Ketua Unit Belia FAM, Penolong Pengarah Teknikal FAM serta Pengarah Teknikal FAM pada 2021.
Di peringkat kelab, bekas pemain tengah era 1990-an itu pernah membimbing Melaka dan Sabah FC sebelum menimba pengalaman di Indonesia sebagai ketua jurulatih Persis Solo dan Persik Kediri dari 2024 hingga 2025, sebelum kembali berkhidmat di tanah air.
FAM berharap Ong Kim Swee mampu memainkan peranan penting sebagai peneraju baharu NFDP melalui perancangan dan pelaksanaan program yang lebih berkesan demi menjamin masa depan bola sepak negara.
🔗 Source: https://www.mediatelus.com/detail/13311

Leave a Reply