PUTRAJAYA 26 Dis – Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak menegaskan beliau akan terus menuntut hak melalui saluran undang-undang secara bermaruah dan penuh kesabaran, meskipun berdepan laluan yang sunyi serta menuntut pengorbanan besar.
Perkara itu dinyatakan Najib menerusi sepucuk surat tulisan tangan yang diutuskan kepada peguamnya selepas Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur menjatuhkan hukuman penjara 15 tahun dan denda RM11.38 bilion terhadapnya atas kesalahan berkaitan dana 1Malaysia Development Berhad (1MDB).
Surat berkenaan dibacakan oleh peguam utama beliau, Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah dalam satu sidang akhbar selepas prosiding mahkamah di Istana Kehakiman, di sini pada Jumaat.
Muhammad Shafee berkata, beliau menerima surat tersebut sebelum sidang akhbar bermula dan merasakan adalah wajar kandungannya dikongsikan kepada media serta rakyat Malaysia.
Menurut Najib, surat itu ditulis dalam keadaan fikiran yang tenang meskipun hatinya berat, sambil mengakui perjuangan yang ditempuh ada kalanya dirasakan perlu dipikul secara bersendirian.
Bagaimanapun, beliau menegaskan perjuangannya bukan berlandaskan dendam, sebaliknya berpaksikan prinsip serta keyakinan terhadap keadilan dan kedaulatan undang-undang.
“Apa yang saya tuntut hanyalah hak yang diperuntukkan oleh undang-undang dan apa yang telah diperkenankan. Niat saya tidak pernah berubah untuk terus menyumbang kepada pembangunan negara dan kesejahteraan rakyat,” menurut kandungan surat itu.
Najib turut menegaskan bahawa segala usaha yang diambil bukan bertujuan mengelak tanggungjawab, sebaliknya sebagai ikhtiar mempertahankan integriti Perlembagaan dan sistem perundangan negara.
Beliau juga menyatakan keyakinan terhadap proses kehakiman serta menyeru rakyat Malaysia agar kekal tenang, rasional dan berhemah, selain tidak terpengaruh dengan provokasi yang boleh menjejaskan keharmonian awam.
“Perbezaan pandangan harus dizahirkan secara matang, tertib dan berlandaskan undang-undang,” katanya.
Dalam pada itu, Najib mengajak rakyat menilai isu berkenaan bukan semata-mata dari sudut nasib dirinya sebagai individu, sebaliknya demi masa depan institusi negara serta prinsip keadilan yang dijunjung bersama.
🔗 Source: https://www.mediatelus.com/detail/13331

Leave a Reply