Wanita ditahan kes dera bayi di taska

KUALA LUMPUR 28 Dis – Polis Diraja Malaysia (PDRM) menahan seorang wanita warganegara tempatan pada 16 Disember lalu bagi membantu siasatan kes penderaan membabitkan bayi berusia antara enam hingga sembilan bulan.

Ketua Polis Daerah Cheras, Asisten Komisioner Aidil Bolhassan berkata, tangkapan dibuat selepas pihaknya menerima tiga laporan polis berhubung kejadian berkenaan.

Menurutnya, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Cheras mengesahkan menerima laporan mengenai kes penderaan terhadap mangsa yang berlaku di sebuah pusat asuhan kanak-kanak.

“Kes ini disiasat oleh Bahagian D11, Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kuala Lumpur.

“Sebanyak tiga laporan polis diterima dan satu tangkapan melibatkan seorang wanita tempatan telah dibuat pada 16 Disember lalu. Kes masih dalam siasatan,” katanya dalam satu kenyataan.

Terdahulu, beberapa rakaman video tular di media sosial memaparkan perbuatan sekumpulan wanita dipercayai melakukan penderaan terhadap bayi di sebuah taska, sekali gus mencetuskan kemarahan orang ramai.

🔗 Source: https://www.mediatelus.com/detail/13346

Comments

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *