150 hakim seluruh negara naik gaji bermula 1 Januari

KUALA LUMPUR 29 Dis – Seramai 150 hakim di seluruh negara akan menikmati kenaikan gaji berkuat kuasa 1 Januari ini susulan pewartaan Peraturan-Peraturan Saraan Hakim 2025 yang diterbitkan minggu lalu.

Berdasarkan warta kerajaan bertarikh 24 Disember, gaji bulanan Ketua Hakim Negara dinaikkan kepada RM46,800 berbanding RM36,000 sebelum ini, manakala Presiden Mahkamah Rayuan menerima gaji baharu sebanyak RM40,950 berbanding RM31,500.

Gaji Ketua Hakim Malaya (KHM) dan Ketua Hakim Sabah dan Sarawak (KHSS) turut diseragamkan kepada RM39,650, berbanding gaji terdahulu masing-masing RM30,500 dan RM30,000.

Sementara itu, hakim Mahkamah Persekutuan kini akan memperoleh gaji bulanan RM37,050 berbanding RM28,500 sebelum ini, hakim Mahkamah Rayuan RM35,750 (daripada RM27,500) dan hakim Mahkamah Tinggi RM34,450 berbanding RM26,500.

Pesuruhjaya kehakiman yang memegang jawatan secara kontrak pula akan menerima gaji RM33,150, meningkat daripada RM25,500 sebelum ini.

Bagaimanapun, tiada sebarang perubahan dibuat terhadap elaun bulanan serta kemudahan lain yang layak diterima oleh para hakim.

Ketika membentangkan Belanjawan 2026 di Dewan Rakyat dua bulan lalu, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim yang juga Menteri Kewangan mengumumkan semua hakim akan menerima kenaikan gaji sebanyak 30 peratus.

Menurut beliau, kali terakhir semakan dan kenaikan gaji hakim dilaksanakan adalah pada tahun 2015.

Anwar turut menjelaskan bahawa para hakim tidak menikmati kenaikan gaji tahunan seperti yang diberikan kepada penjawat awam lain di bawah skim perkhidmatan awam.

🔗 Source: https://www.mediatelus.com/detail/13366

Comments

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *