Ahmad Maslan tegur pemimpin politik, jangan halalkan cara demi capai matlamat

KUALA LUMPUR 29 Dis – Politik seharusnya dipandu oleh nilai etika dan prinsip moral, bukannya menghalalkan segala cara demi mencapai matlamat, tegas Ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO, Datuk Seri Ahmad Maslan.

Tanpa merujuk kepada mana-mana individu atau isu tertentu, Timbalan Menteri Kerja Raya itu menasihatkan pemimpin politik agar tidak mengamalkan konsep ‘matlamat menghalalkan cara’ serta ‘membunuh musuh sepenuhnya’, yang disifatkannya sebagai pendekatan tidak beretika dalam politik dan kehidupan seharian.

Menerusi hantaran di Facebook pagi ini, beliau menegaskan bahawa kaedah sedemikian tidak wajar dijadikan amalan, sebaliknya semua pihak digesa menggunakan cara yang terhormat untuk mencapai sesuatu matlamat.

“Jangan amalkan dua kaedah ini dalam politik dan kehidupan, iaitu ‘matlamat menghalalkan cara dan membunuh musuh kamu sepenuhnya’.

“Ini adalah kaedah tidak beretika terutama dalam dunia politik dan juga kehidupan seharian.

“Hidup dalam berkat itu selamat. Gunalah kaedah terhormat untuk mencapai matlamat,” katanya.

Dalam hantaran sama, Ahmad turut menyertakan maklumat rujukan yang dipetik daripada Google dan Wikipedia bagi menjelaskan maksud ungkapan berkenaan.

Petikan daripada Google itu menyebut: ‘The phrase ‘kill your enemies completely’ is most famously associated with Law 15 of Robert Greene’s book, The 48 Laws of Power’ (Frasa ‘kill your enemies completely’ paling terkenal dikaitkan dengan Undang-Undang ke-15 dalam buku The 48 Laws of Power karya Robert Greene).

🔗 Source: https://www.mediatelus.com/detail/13347

Comments

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *