JAKARTA 29 Dis – Tindakan menghina individu lain dengan gelaran seperti ‘anjing’ kini boleh membawa hukuman penjara sehingga enam bulan atau denda maksimum 10 juta rupiah (kira-kira RM2,400) di Indonesia susulan penguatkuasaan Kanun Jenayah (KUHP) baharu negara itu.
Menurut laporan portal berita Warta Lombok, peruntukan undang-undang terkini itu memperuntukkan hukuman lebih berat berbanding perundangan sedia ada.
Di bawah KUHP lama, khususnya Perkara 315, perbuatan penghinaan yang dilakukan secara sengaja sama ada secara lisan atau bertulis, di khalayak ramai atau secara langsung kepada individu yang dihina, hanya boleh dikenakan hukuman penjara maksimum empat bulan dua minggu.
Bagaimanapun, menerusi KUHP baharu yang akan berkuat kuasa mulai 2 Januari tahun depan, kesalahan berkaitan penghinaan kini diperuntukkan di bawah Perkara 436.
Perkara tersebut memperincikan bahawa penghinaan yang tidak termasuk dalam kategori fitnah, sama ada dilakukan secara lisan atau bertulis, boleh diklasifikasikan sebagai penghinaan ringan.
Pelaku boleh dikenakan hukuman penjara sehingga enam bulan atau denda maksimum Kategori II iaitu sekitar 10 juta rupiah, dan peruntukan itu terpakai sama ada penghinaan dilakukan secara langsung atau di tempat awam.
Melalui pelaksanaan undang-undang baharu ini, kerajaan Indonesia berharap ia dapat membendung kes buli, khususnya dalam bentuk lisan, selain menggalakkan pembentukan budaya pertuturan yang lebih beradab dan sopan dalam kalangan masyarakat. — AGENSI
🔗 Source: https://www.mediatelus.com/detail/13368

Leave a Reply