SPRM siasat 40 syarikat disyaki terlibat beri rasuah projek Tentera Darat

KUALA LUMPUR 29 Dis – Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) sedang menjalankan siasatan terhadap kira-kira 40 buah syarikat yang disyaki terlibat dalam aktiviti pemberian rasuah membabitkan projek perolehan Tentera Darat.

Menurut sumber, siasatan ketika ini memfokuskan kepada aliran wang yang dipercayai dimasukkan ke dalam akaun milik seorang pegawai kanan Tentera Darat yang kini disiasat sebagai suspek dalam kes rasuah berkenaan.

Sumber memaklumkan, pada Sabtu lalu, SPRM telah melaksanakan operasi penggeledahan di pejabat Tentera Darat di Kementerian Pertahanan (MINDEF) serta di kediaman rasmi suspek, bermula sekitar jam 5 petang hingga 12 tengah malam.

“Penggeledahan itu tidak menemui sebarang wang tunai. Namun SPRM telah menyita beberapa barangan mewah bernilai tinggi termasuk jam tangan dan beg tangan mewah yang dipercayai mempunyai kaitan dengan siasatan,” katanya.

Menurut sumber itu lagi, suspek sepatutnya hadir ke Ibu Pejabat SPRM semalam untuk memberi keterangan, namun telah dikejarkan ke hospital dan dimasukkan ke Unit Rawatan Rapi (ICU) pada hari yang sama.

“Setakat ini, suspek masih menerima rawatan dan belum dapat dirakam keterangannya.

“SPRM setakat ini telah merakam keterangan lima pemilik syarikat, manakala jumlah keseluruhan saksi yang dipanggil bagi membantu siasatan adalah seramai 10 orang,” jelasnya.

SPRM dijangka akan terus memperluaskan skop siasatan termasuk meneliti aspek aliran kewangan, perolehan projek serta penglibatan individu dan syarikat berkaitan, selaras dengan peruntukan undang-undang di bawah Akta SPRM 2009.

Pada Selasa lalu, pegawai SPRM turut hadir ke Kementerian Pertahanan (MINDEF) dengan siasatan memfokuskan kepada projek-projek yang dilaksanakan menerusi kaedah perolehan secara tender terbuka serta perolehan di bawah Pusat Tanggungjawab (PTJ) Tentera Darat.

Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki mengesahkan bahawa satu kertas siasatan telah dibuka di bawah Seksyen 17(a) Akta SPRM 2009.

Terdahulu, Panglima Tentera Darat, Jeneral Tan Sri Muhammad Hafizuddeain Jantan dilaporkan akan bercuti bagi memberi ruang kepada pihak berkuasa menjalankan siasatan.

Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin turut mengesahkan bahawa pegawai kanan terbabit akan bercuti berkuat kuasa serta-merta sehingga siasatan selesai dijalankan.

🔗 Source: https://www.mediatelus.com/detail/13367

Comments

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *