ALOR GAJAH 31 Dis – Kemelut dalaman dalam Perikatan Nasional (PN) dipercayai menjadi faktor utama Presiden BERSATU, Tan Sri Muhyiddin Yassin mengambil keputusan meletakkan jawatan sebagai Pengerusi gabungan itu.
Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) BERSATU, Tan Sri Noh Omar berkata, tindakan Muhyiddin bukan didorong kepentingan peribadi, sebaliknya lahir daripada sikap kepimpinan yang matang dan berjiwa besar demi memastikan kestabilan serta kelangsungan perjuangan parti dan gabungan.
“Jadi kerana dia lebih mementingkan PN maka dia letak jawatan sebagai Pengerusi PN.
“Bagi saya beliau seorang yang berjiwa besar dan saya yakin PN nanti akan ada kesinambungan sebab dalam perjuangan kita pemimpin datang dan pergi, tetapi perjuangan parti mestilah diteruskan,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas Pelancaran Pusat Khidmat Muafakat Nasional (MN) Dewan Undangan Negeri (DUN) di Kampung Pulau, Durian Tunggal, di sini, hari ini.
Dalam perkembangan lain, Noh turut menjelaskan kekeliruan yang timbul berhubung Muafakat Nasional (MN), dengan menegaskan bahawa pertubuhan itu bukan sebuah platform politik, sebaliknya berfungsi sebagai badan bukan kerajaan (NGO) yang didaftarkan secara rasmi.
Menurutnya, MN dianggotai individu daripada pelbagai latar belakang termasuk ahli politik pelbagai parti serta golongan profesional, dengan majoritinya terdiri daripada orang Melayu, namun turut melibatkan bukan Melayu tanpa mengira kaum dan ideologi politik.
“MN diwujudkan sebagai pusat khidmat sukarelawan untuk membantu rakyat tanpa mengira latar belakang politik atau kaum.
“Ia bermula di Melaka dan akan diperluaskan ke peringkat pusat serta negeri lain,” katanya lagi.
Semalam, media melaporkan bahawa selepas lima tahun menerajui PN, Muhyiddin secara rasmi mengumumkan peletakan jawatannya sebagai Pengerusi gabungan itu berkuat kuasa 1 Januari ini.
Menerusi kenyataan media yang dimuat naik di Facebook, bekas Perdana Menteri itu turut merakamkan penghargaan kepada seluruh kepimpinan PN atas sokongan yang diberikan sepanjang tempoh kepimpinannya.
🔗 Source: https://www.mediatelus.com/detail/13421

Leave a Reply