GEORGETOWN 2 Jan – Operasi Bersepadu Pencegahan Jenayah sempena Ambang Tahun Baharu 2026 di Jalan Bukit Gambir, Gelugor, awal pagi tadi bertukar cemas apabila seorang anggota polis cedera dalam insiden kemalangan melibatkan sebuah motosikal ditunggang warga asing.
Timbalan Ketua Polis Daerah Timur Laut, Superintenden Lee Swee Sake berkata, kejadian kira-kira jam 2.30 pagi itu berlaku apabila motosikal Yamaha ditunggang lelaki berusia 31 tahun hilang kawalan sebelum merempuh bahagian belakang sebuah kereta Perodua Myvi yang sedang diperiksa polis di Sekatan Jalan Raya (SJR) berkenaan.
“Impak kemalangan berkenaan menyebabkan motosikal terbabit terlanggar papan tanda SJR sebelum terpelanting dan mengenai kaki kiri seorang anggota polis lelaki berusia 37 tahun yang sedang bertugas ketika itu.
“Susulan kejadian, penunggang motosikal warga asing dan anggota polis berkenaan mengalami kecederaan ringan di bahagian kaki dan menerima rawatan sebagai pesakit luar,” katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.
Menurut Lee, pemandu kereta Perodua Myvi iaitu seorang lelaki tempatan berusia 28 tahun tidak mengalami sebarang kecederaan dalam insiden berkenaan.
Beliau berkata, kes tersebut disiasat mengikut Seksyen 43(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 kerana memandu secara cuai sehingga menyebabkan kemalangan.
🔗 Source: https://www.mediatelus.com/detail/13434

Leave a Reply