PETALING JAYA – Ramai pelabur Amanah Saham Bumiputera (ASB) menarik nafas lega apabila pagi ini mendapat notifikasi memaklumkan dividen serta bonus pelaburan mereka sudah pun dikreditkan ke dalam akaun masing-masing.
Tinjauan di media sosial mendapati, rata-rata pengguna berkongsi keterujaan apabila melihat jumlah dividen ASB yang diterima, sekali gus menjadi penyuntik semangat pada awal tahun baharu selepas Amanah Saham Nasional Berhad (ASNB) mengumumkan jumlah pengagihan pendapatan sebanyak 5.75 sen seunit, 19 Disember lalu.
“Bangun pagi terus buka aplikasi bank, senyum tak hilang. Dividen ASB dah masuk, boleh tampung perbelanjaan awal tahun,” tulis Syukri Azli di Facebook.
Tidak kurang juga yang menyifatkan kemasukan dividen tersebut sebagai ‘rezeki anak sekolah’, memandangkan ramai ibu bapa kini berdepan perbelanjaan tinggi bagi persiapan persekolahan.
“Alhamdulillah, dividen ASB dah masuk, bonus pun besar juga. Boleh guna sikit untuk beli buku dan kelengkapan sekolah anak-anak. Lega sangat,” komen Fatin.
Dalam pada itu, ada juga yang berazam untuk tidak mengusik dividen berkenaan dan memilih untuk melaburkannya semula demi simpanan jangka panjang.
“Masuk je dividen, terus niat tak nak keluarkan. Biar berganda tahun depan,” ujar Nawab di platform X.
Semakan dividen ASB boleh dilakukan di aplikasi myASNB atau portal rasmi ASNB di pautan www.asbn.com.my – KOSMO! ONLINE
Hak cipta terpelihara © 2025 Media Mulia Sdn Bhd 201801030285 (1292311-H)Satu lagi produk Media Mulia Sdn. Bhd.
🔗 Source: https://www.kosmo.com.my/2026/01/01/bangun-pagi-senyum-lebar-dividen-asb-dah-masuk/

Leave a Reply