Dua beradik lemas di Pantai Sura Tengah

Aktiviti perkelahan sebuah keluarga di Pantai Sura Tengah, Dungun, Terengganu berakhir dengan tragedi apabila dua beradik dilaporkan lemas ketika mandi di pantai berkenaan, pagi tadi.

Dalam kejadian kira-kira jam 10.27 pagi itu, kedua-dua mangsa yang berasal dari Kampung Paya Balai Besar dipercayai dihanyutkan ombak ketika berkelah bersama ahli keluarga.

Mayat seorang wanita, Nor Baizura Shafie, 39, ditemukan tidak lama kemudian, manakala adiknya, Mohd Fazir Shafie, 37, masih belum ditemui setakat ini.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Dungun, Penolong Kanan Penguasa Bomba Sharizal Samsuddin berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 10.27 pagi sebelum mengerahkan 10 anggota bersama sebuah jentera ke lokasi kejadian.

Menurut beliau, sebaik tiba, pasukan penyelamat segera melancarkan operasi mencari dan menyelamat meskipun berdepan ombak besar serta arus laut yang kuat.

“Seorang mangsa wanita berjaya ditemui kira-kira 25 minit kemudian sebelum dibawa ke daratan, namun disahkan meninggal dunia oleh pasukan perubatan di lokasi kejadian,” katanya.

Sharizal berkata, operasi mencari dan menyelamat seorang lagi mangsa diteruskan dengan menggunakan bot dan pencarian di sekitar pesisir pantai, dengan bantuan anggota polis serta Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM).

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Dungun, Superintenden Maizura Abdul Kadir berkata, sebelum kejadian, keluarga terbabit yang terdiri daripada tujuh orang dewasa dan lapan kanak-kanak sedang berkelah di pantai tersebut.

Menurutnya, kejadian berlaku apabila Nor Baizura dipercayai lemas ketika mandi sebelum adiknya cuba menyelamatkan mangsa, namun kedua-duanya dihanyutkan ombak.

Mayat mangsa kemudiannya dibawa ke Bilik Forensik Hospital Dungun untuk bedah siasat, manakala operasi mencari dan menyelamat Mohd Fazir masih diteruskan setakat ini.

Sumber: Sinar Harian, Harian Metro

🔗 Source: https://thereporter.my/dua-beradik-lemas-di-pantai-sura-tengah/

Comments

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *