MARANG 2 Jan – PAS mengesahkan parti itu akan menerajui kepimpinan Perikatan Nasional (PN) susulan peletakan jawatan Tan Sri Muhyiddin Yassin sebagai Pengerusi gabungan berkenaan yang berkuat kuasa semalam.
Presiden PAS, Tan Sri Abdul Hadi Awang berkata, mesyuarat bagi membincangkan calon Pengerusi PN yang baharu akan diadakan minggu depan dan dijangka turut melibatkan kepimpinan BERSATU.
“Mesyuarat itu nanti akan bersama-sama Bersatu. (Pemimpin) yang letak jawatan itu atas dia (sama ada) hendak datang (mesyuarat) atau tidak,” katanya kepada pemberita selepas menyampaikan kuliah duha di Masjid Rusila, di sini, hari ini.
Menurut Abdul Hadi, PAS mempunyai ramai calon berpotensi sama ada dalam kalangan agamawan atau teknokrat, namun beliau enggan mendedahkan identiti calon yang akan dikemukakan pada mesyuarat tersebut.
Ditanya mengenai kemungkinan beliau sendiri dilantik sebagai Pengerusi PN seperti dicadangkan beberapa pihak, Ahli Parlimen Marang itu memaklumkan keadaan kesihatannya menjadi pertimbangan utama.
“Kita dalam keadaan keuzuran, tetapi calon yang akan dipilih untuk memimpin PN akan dibincangkan pada mesyuarat minggu depan, yang pasti pengerusi gabungan itu adalah kalangan pemimpin PAS,” katanya.
Dalam pada itu, Abdul Hadi menegaskan hubungan antara PAS dan BERSATU kekal baik meskipun Muhyiddin serta beberapa pengerusi PN di peringkat negeri mengumumkan peletakan jawatan masing-masing.
Selasa lalu, Muhyiddin secara rasmi mengumumkan peletakan jawatannya sebagai Pengerusi PN berkuat kuasa 1 Januari 2026, selepas lima tahun menerajui gabungan itu, susulan krisis politik di Perlis.
Berikutan keputusan tersebut, empat pemimpin kanan PN turut melepaskan jawatan iaitu Setiausaha Agung PN, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali yang juga Pengerusi PN Selangor; Pengerusi PN Negeri Sembilan, Mohamad Hanifah Abu Baker; Pengerusi PN Johor, Dr Sahruddin Jamal serta Pengerusi PN Perak, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu.
🔗 Source: https://www.mediatelus.com/detail/13431

Leave a Reply