RAWANG 3 Jan – Kerajaan Perpaduan perlu melaksanakan sebarang perubahan secara waras dan bijaksana, selari dengan realiti mandat sebenar yang diperoleh pada Pilihan Raya Umum lalu, kata Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Beliau berkata, meskipun kerajaan kini diberi kepercayaan untuk mentadbir negara, hakikatnya jumlah kerusi Parlimen yang dimiliki tidak bersifat mutlak dan memerlukan kefahaman serta rundingan berterusan antara parti-parti komponen dalam kerajaan.
“Kita mendapat mandat untuk menjadi kerajaan, namun perlu diingat bahawa kita tidak menguasai 200 kerusi Parlimen. Perubahan memang perlu dilaksanakan, tetapi ia mesti dilakukan secara waras dan bijaksana,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Program Hari Keluarga dan Rapat Reformasi 2026 yang berlangsung di Bukit Beruntung Golf Resort, di sini hari ini.
Anwar menegaskan bahawa agenda reformasi kekal sebagai asas utama pentadbiran Kerajaan Perpaduan, termasuk komitmen membanteras rasuah, penyelewengan serta menolak budaya angkuh dalam kalangan pemegang kuasa.
“Gunakan kuasa dengan bijaksana. Ketika diberi kuasa, laksanakan tanggungjawab sebaik mungkin. Jangan jadi seperti mereka yang tidak melakukan apa-apa ketika berkuasa, tetapi lantang bersuara apabila kehilangan kuasa,” katanya.
Beliau turut mengakui bahawa usaha memerangi rasuah serta memulihkan kebebasan institusi, khususnya badan kehakiman, bukanlah tugas mudah kerana ia berdepan tentangan pihak yang selesa dengan sistem lama.
“Golongan yang biasa dengan rasuah tidak akan senang dengan usaha ini. Begitu juga mereka yang pernah mencabul kebebasan kehakiman, sudah tentu tidak gembira dengan keputusan yang bebas dan adil,” jelasnya.
Menyentuh soal perpaduan kaum, Anwar menegaskan pendekatan sempit berasaskan kaum atau kepentingan kelompok tertentu perlu dihentikan demi menjamin kestabilan dan keselamatan negara.
“Semua kaum perlu melihat sesuatu isu dalam kerangka besar Malaysia. Jika tidak, negara ini tidak akan berada dalam keadaan yang selamat dan stabil,” katanya.
🔗 Source: https://www.mediatelus.com/detail/13452

Leave a Reply