KLUANG 4 Jan – Tragedi menyayat hati berlaku di Jalan Empangan, Taman Murni Jaya, Machap apabila seorang lelaki maut manakala isteri serta anak lelakinya cedera parah selepas motosikal yang dinaiki mereka terlibat dalam kemalangan dengan sebuah lori, kelmarin.
Dalam kejadian kira-kira jam 7.30 petang itu, mangsa Muhammad Amirul Azim Hamdan, 28, disahkan meninggal dunia di tempat kejadian, manakala isterinya Noor Haidah Mohd Basri, 28, mengalami kecederaan dan menerima rawatan di Hospital Encheโ Besar Hajjah Khalsom di sini.
Ketua Polis Daerah Kluang, Asisten Komisioner Bahrin Mohd Noh, berkata anak pasangan terbabit, seorang bayi lelaki berusia 20 bulan, turut cedera dan kini dirawat di hospital sama.
Katanya, siasatan awal mendapati motosikal jenis Benelli TNT300 yang ditunggang mangsa dengan membonceng isteri serta anaknya sedang dalam perjalanan dari Tasik Machap menghala ke Taman Murni.
“Semasa tiba di tempat kejadian, penunggang motosikal dipercayai hilang kawalan akibat dikejar anjing lalu memasuki laluan bertentangan.
“Motosikal itu kemudiannya melanggar bahagian belakang sebuah lori yang diletakkan di bahu jalan sebelah kanan. Akibatnya, mangsa parah di kepala dan disahkan meninggal dunia di tempat kejadian oleh pasukan perubatan.
“Isteri dan anak mangsa juga cedera di kepala dan mereka kini dirawat di zon merah hospital sama,” katanya dalam satu kenyataan.
Menurut beliau, susulan kemalangan itu, polis turut menjalankan ujian saringan air kencing ke atas pemandu lori berusia 42 tahun, namun hasilnya didapati negatif dadah.
“Polis masih menjalankan siasatan dan kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
“Orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat berhubung kemalangan ini diminta menghubungi mana-mana balai polis berhampiran atau Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kluang di talian 07-7784222 (hotline), 07-7784256 atau 014-365682,” katanya.
๐ Source: https://www.mediatelus.com/detail/13471

Leave a Reply