SEREMBAN 4 Jan – Perjalanan pulang dua pelajar Universiti Teknologi MARA (UiTM) Kampus Rembau berakhir tragedi apabila mereka terkorban dalam kemalangan motosikal di Jalan Chengkau–Panchang–Lubok Cina, petang tadi.
Ketua Polis Daerah Rembau, Superintendan Hasani Hussain, berkata dalam kemalangan kira-kira jam 4 petang itu, Ismawanie Husna Ismail dan Nur Ain Zulaisya Zahrain, kedua-duanya berusia 19 tahun, disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian akibat kecederaan serius pada bahagian kepala.
“Hasil siasatan awal mendapati insiden berlaku ketika kedua-dua pelajar Diploma Pengurusan Maklumat serta Diploma Komunikasi dan Media itu sedang dalam perjalanan dari arah UiTM Rembau menghala ke Pekan Lubok Cina. Keadaan cuaca dilaporkan baik ketika itu.
“Setiba di jalan selekoh, motosikal Yamaha NVX yang ditunggang Ismawanie Husna dipercayai hilang kawalan sebelum terbabas ke kiri jalan dan melanggar besi penghadang,” katanya dalam satu kenyataan, di sini, malam ini.
Beliau berkata, mayat kedua-dua mangsa kemudian dibawa ke Hospital Rembau untuk bedah siasat, manakala kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
🔗 Source: https://www.mediatelus.com/detail/13462

Leave a Reply