Kerajaan salur RM200 juta baik pulih sekolah agama rakyat dan tahfiz

KUALA LUMPUR 5 Jan – Kerajaan menyediakan peruntukan segera sebanyak RM200 juta bagi menambah baik kemudahan Sekolah Agama Rakyat (SAR), sekolah tahfiz dan institusi berkaitan susulan laporan keadaan sekolah-sekolah tersebut yang disifatkan antara paling daif di negara ini.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, meskipun SAR tidak berada di bawah skim Dasar Pendidikan Kebangsaan, lebih 300,000 pelajar sedang menuntut di institusi berkenaan dan kebajikan mereka tidak boleh terus dipinggirkan.

“Dulu semua bantuan kepada sekolah agama rakyat ini dibatalkan sama sekali. Keadaan itu sebenarnya mendera anak-anak kita,” katanya dalam Perutusan Tahun Baharu 2026 yang disiarkan secara langsung hari ini.

Sehubungan itu, beliau berkata kerajaan telah mengarahkan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) supaya bekerjasama rapat dengan SAR bagi menambah baik kurikulum, meningkatkan mutu pembelajaran serta memperkukuh tahap profesionalisme guru melalui latihan yang lebih tersusun.

Menurut Anwar, langkah berkenaan mencerminkan komitmen kerajaan untuk memastikan institusi pendidikan agama terus diperkasa selaras dengan keperluan semasa, selain menjamin kebajikan dan masa depan para pelajar.

🔗 Source: https://www.mediatelus.com/detail/13476

Comments

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *