KUALA LUMPUR 5 Jan – Sistem pendidikan negara perlu memberi tumpuan serius kepada keberkesanan pelaksanaan dasar, isu salah laku serta kesihatan mental murid, selain kemerosotan enrolmen aliran Sains Tulen bermula tahun 2026 bagi memastikan kualiti pendidikan Malaysia kembali berdaya saing di peringkat antarabangsa.
Pakar pendidikan, Dr Anuar Ahmad berkata, pencapaian pendidikan negara sepanjang 2025 hanya layak diberi penarafan ‘Gred B’, memandangkan banyak isu asas masih gagal diselesaikan secara menyeluruh walaupun peruntukan kewangan pendidikan negara antara yang tertinggi di rantau ini berdasarkan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK).
Menurut beliau, keputusan Programme for International Student Assessment (PISA) sejak 2007 membuktikan pencapaian Malaysia kekal di bawah purata antarabangsa dan tidak menunjukkan peningkatan ketara sejak lebih 15 tahun lalu.
“Ini menunjukkan masalah sebenar bukan terletak pada dasar atau peruntukan, tetapi pada penyampaian dan pelaksanaan pendidikan yang kurang berkesan,” katanya.
Beliau membandingkan situasi itu dengan Singapura yang walaupun memperuntukkan peratusan KDNK lebih rendah untuk pendidikan, namun berjaya mencapai tahap kecemerlangan tertinggi dalam PISA sejak 2009.
Mengulas isu sosial, Dr Anuar berkata peningkatan kes salah laku murid serta masalah kesihatan mental dalam kalangan remaja semakin membimbangkan, berdasarkan data Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), Polis Diraja Malaysia (PDRM), Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) dan Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM).
Katanya, garis panduan disiplin, prosedur hukuman, kaunseling serta kerjasama antara ibu bapa dan guru perlu kepada kerangka baharu yang lebih berkesan dan bersifat pencegahan.
Dalam masa sama, beliau menzahirkan kebimbangan terhadap kemerosotan ketara enrolmen murid dalam aliran Sains Tulen yang akan memberi kesan langsung kepada penyediaan tenaga kerja berkemahiran tinggi dalam tempoh 10 hingga 15 tahun akan datang.
“Negara serantau seperti Laos dan Kemboja kini menunjukkan prestasi lebih baik dalam sains dan matematik, manakala Singapura dan Vietnam sudah lama mendahului kita,” katanya merujuk laporan SEA-PLM 2025.
Sehubungan itu, Dr Anuar menggesa kepimpinan pendidikan negara menjadikan 2026 sebagai tahun kebangkitan kualiti pendidikan dengan sasaran jelas untuk mencapai kedudukan melebihi purata antarabangsa dalam penilaian PISA dan TIMSS akan datang.
Beliau turut menegaskan budaya kerja bersendirian tanpa libat urus masyarakat perlu ditamatkan, sebaliknya membuka ruang kepada perkongsian idea dan tenaga demi masa depan pendidikan negara.
🔗 Source: https://www.mediatelus.com/detail/13477

Leave a Reply