Zambry arah UiTM beri bantuan sepenuhnya libat dua pelajar maut kemalangan

KUALA LUMPUR 5 Jan – Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir merakamkan ucapan takziah kepada seluruh ahli keluarga dua pelajar Universiti Teknologi MARA (UiTM) Kampus Rembau yang meninggal dunia dalam satu kemalangan petang semalam.

Menerusi hantaran di media sosialnya, beliau memaklumkan kedua-dua pelajar terbabit ialah Allahyarhamah Ismawanie Husna Ismail dan Allahyarhamah Nur Ain Zulaisya Zahrain.

Menurut Zambry, pihaknya telah mengarahkan UiTM supaya memberikan bantuan sepenuhnya bagi menguruskan segala keperluan berkaitan mangsa, termasuk urusan kebajikan serta sokongan sewajarnya kepada keluarga terlibat.

“Saya merakamkan ucapan takziah kepada seluruh ahli keluarga kedua-dua pelajar ini dan berharap mereka diberikan ketabahan, kekuatan serta kesabaran dalam menghadapi ujian yang amat berat ini,” katanya.

Dalam kejadian itu, Ketua Polis Daerah Rembau, Superintendan Hasani Hussain memaklumkan, dua pelajar berusia 19 tahun terbabit maut selepas motosikal jenis Yamaha NVX yang ditunggang mereka terbabas dan melanggar besi penghadang di Kilometer 1, Jalan Chengkau–Panchang–Lubok Cina, kira-kira jam 4 petang.

Menurut beliau, kemalangan berlaku ketika kedua-dua mangsa dalam perjalanan dari UiTM Rembau menghala ke Pekan Lubok Cina dalam keadaan cuaca baik.

“Apabila tiba di jalan selekoh, motosikal yang ditunggang Ismawanie Husna dipercayai hilang kawalan sebelum terbabas ke kiri jalan dan melanggar besi penghadang,” katanya.

Kedua-dua mangsa yang merupakan pelajar Diploma Pengurusan Maklumat serta Diploma Komunikasi dan Media disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian akibat kecederaan parah di bahagian kepala.

Sementara itu, Zambry turut mendoakan agar roh kedua-dua Allahyarhamah dicucuri rahmat, diampunkan segala dosa serta ditempatkan dalam kalangan orang beriman dan beramal soleh.

🔗 Source: https://www.mediatelus.com/detail/13468

Comments

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *