PUTRAJAYA 6 Jan – UMNO dan Barisan Nasional (BN) menegaskan komitmen untuk terus bersama Kerajaan Perpaduan yang diterajui Pakatan Harapan (PH) sehingga tamat penggal pentadbiran, sekali gus menepis spekulasi parti itu akan menarik diri dan menjadi pembangkang dalam masa terdekat.
Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, pendirian itu selari dengan keputusan awal UMNO dan BN ketika bersetuju membentuk Kerajaan Perpaduan pada Disember 2022.
Katanya, isu berkenaan turut dibincangkan dalam mesyuarat Biro Politik UMNO semalam, termasuk cadangan Ketua Pemuda UMNO, Datuk Dr Muhamad Akmal Saleh supaya parti itu menarik diri daripada kerajaan dan mengambil peranan sebagai pembangkang.
Bagaimanapun, Ahmad Zahid menegaskan tiada sebarang keputusan muktamad dibuat berhubung cadangan berkenaan.
“Saya mempunyai pendirian daripada awal, parti juga mempunyai pendirian daripada awal bahawa kita tidak akan pernah melakukan ‘tebuk atap’ kepada kerajaan yang ada sekarang ini.
“…dan kita akan bersama-sama dengan Kerajaan Perpaduan ini hingga tamat penggal. Bila pun penggalnya yang akan diumumkan nanti ia adalah penggal yang secukupnya sebelum Pilihan Raya Umum ke-16 diadakan,” katanya.
Ahmad Zahid yang juga Pengerusi BN berkata, segala perbincangan dalam mesyuarat Biro Politik melibatkan keputusan besar parti dan memerlukan penelitian rapi sebelum sebarang pengumuman dibuat.
Beliau turut memaklumkan pandangan wakil Perhubungan Negeri telah didengar dan akan diteliti secara menyeluruh.
“Kita membincangkan soal untuk kerjasama dijalin semula antara UMNO – BN dan pihak pembangkang terutama kerjasama antara UMNO dan PAS.
“Sebagaimana diketahui mereka juga menyarankan kita mencari waktu yang sesuai untuk meninggalkan kerajaan yang ada sekarang,” katanya.
Sabtu lalu, Dr Muhamad Akmal ketika berucap pada Konvensyen Khas Pemuda UMNO di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTC KL) berkata, Pemuda UMNO menolak sebarang usaha merampas kuasa atau ‘menebuk atap’ sehingga menjatuhkan kerajaan sedia ada.
Namun, beliau menggesa UMNO menarik diri daripada Kerajaan Perpaduan dan menjadi pembangkang, sambil menegaskan langkah itu tidak akan menyebabkan kerajaan tumbang kerana masih mempunyai sokongan kira-kira 153 Ahli Parlimen.
“Kita tak nak merampas kuasa dari pintu belakang. Kamu pimpinlah negara ini, kita jadilah pembangkang setahun dua tahun ini… kita kuatkan semula orang Melayu,” katanya.
Mengulas lanjut, Ahmad Zahid menegaskan UMNO tidak mahu mengulangi kesilapan lalu dalam menjalin kerjasama politik dengan mana-mana parti pembangkang.
Tanpa menamakan parti tertentu, beliau berkata UMNO tidak mahu dikhianati buat kali kedua.
“Kita tidak mahu bernostalgia menggunakan apa-apa nama yang pernah dicadangkan dahulu dan kita belum memutamadkannya lagi.
“Itu sebabnya perincian penting kerana kita tidak mahu dipatuk oleh ular yang sama bagi kali yang kedua di tempat yang sama,” katanya ketika diminta mengulas kemungkinan menghidupkan semula kerjasama UMNO-PAS di bawah Muafakat Nasional (MN).
Sebelum ini, Dr Akmal menggesa MN dihidupkan semula susulan perkembangan politik di Perlis, dengan cadangan itu disambut baik Ketua Penerangan PAS, Ahmad Fadhli Shaari yang menyifatkannya sebagai kunci kepada kebangkitan semula perpaduan ummah.
Ahmad Zahid berkata, perkara itu turut menjadi antara topik perbincangan dalam mesyuarat Biro Politik UMNO semalam.
RUU had tempoh PM dilihat ‘game changer’
Dalam perkembangan lain, Ahmad Zahid menyifatkan Rang Undang-Undang (RUU) bagi mengehadkan tempoh jawatan Perdana Menteri kepada tidak lebih 10 tahun atau dua penggal penuh sebagai satu langkah pengubah keadaan dalam sistem pentadbiran negara.
Menurutnya, tempoh terlalu lama memegang jawatan boleh mewujudkan ketepuan walaupun seseorang itu berkelayakan.
“Ini adalah satu ‘game changer’ yang pada hemat saya, kita tidak mahu supaya seseorang perdana menteri itu terlalu lama, ertinya ‘overstay his or her welcome’,” katanya.
Beliau mengulas pengumuman Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang menyatakan RUU berkenaan sebagai antara agenda reformasi institusi kerajaan dan hala tuju utama pada sesi Parlimen tahun ini.
🔗 Source: https://www.mediatelus.com/detail/13495

Leave a Reply