Mahkamah perintah Rizman Ruzaini bayar RM1.3 Juta kepada suami Intan Najuwa

Setelah hampir tiga tahun memilih untuk berdiam diri, pelakon, Datin Intan Najuwa akhirnya tampil secara terbuka bersama suaminya susulan keputusan mahkamah yang memihak kepada mereka.

Suaminya, Datuk Ahmad Azraf Azman, dilaporkan berjaya memenangi kes saman terhadap jenama fesyen terkenal, Rizman Ruzaini, berhubung tuntutan bayaran semula pinjaman.

Menurut Intan, keputusan untuk bersuara dibuat selepas proses perundangan selesai dan penghakiman rasmi dikeluarkan oleh Mahkamah.

Jelas pelakon itu, kenyataan tersebut tidak melibatkan mana-mana pihak lain atau pereka fesyen selain ditujukan khusus kepada Pereka Fesyen Rizman Ruzaini agar melaksanakan pembayaran semula pinjaman seperti yang telah diarahkan oleh mahkamah melalui penghakiman berkenaan.

A post shared by Intan Najuwa (@intannajuwa)

Intan turut menegaskan bahawa kenyataan yang dibuat adalah secara berfakta dan berhemah, selaras dengan keputusan undang-undang yang sah, selepas beliau dan suami memilih untuk menunggu serta menghormati sepenuhnya proses perundangan yang berjalan selama ini.

Berdasarkan dokumen yang dikongsikan di Instagram, mahkamah telah merekodkan satu Penghakiman Terus yang memihak kepada Ahmad Azraf selaku plaintif terhadap tiga defendan, iaitu Rizman Ruzaini Creations (M) Sdn Bhd, Rizman Nordin dan Wan Mohd Ruzaini Wan Jamil.

Perintah mahkamah bertarikh 16 Disember 2025 itu menetapkan bahawa defendan perlu menjelaskan bayaran sebanyak RM1.3 juta kepada plaintif selewat-lewatnya pada 15 Januari 2026, membayar faedah pada kadar lima peratus ke atas baki jumlah mulai 16 Januari 2026 sehingga penyelesaian sepenuhnya dibuat dan menjelaskan kos mahkamah sebanyak RM15,000 kepada plaintif dengan segera.

🔗 Source: https://thereporter.my/mahkamah-perintah-rizman-ruzaini-bayar-rm1-3-juta-kepada-suami-intan-najuwa/

Comments

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *