‘Tunggang agama’ kutip duit berjuta masuk akaun peribadi, SPRM sahkan sedang pantau 3 NGO ‘popular’

PUTRAJAYA 10 Jan – Sekurang-kurangnya tiga pertubuhan bukan kerajaan (NGO) ‘popular’ berada dalam radar Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) selepas dikesan mengumpulkan ‘harta haram’ hasil kutipan dana jutaan ringgit.

Menurut laporan Harian Metro, Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki, berkata risikan dan siasatan sudah dilakukan pihaknya terhadap NGO berkenaan.

Beliau melahirkan rasa kecewa berikutan masih ada segelintir NGO yang mengambil kesempatan mengaut keuntungan dan mengumpul kekayaan melalui kutipan dana awam.

“Dalam masa terdekat, akan ada lagi pertubuhan (NGO) yang bakal diambil tindakan mahkamah (oleh SPRM).

“Mereka masih ‘menunggang’ agama, mengutip duit berjuta-juta (tetapi wang) masuk ke dalam akaun peribadi chairman (pengerusi NGO). Mereka ini akan dituduh di mahkamah, tidak lama lagi,” katanya, kelmarin.

Beliau berkata, sikap dermawan rakyat Malaysia yang mudah bersimpati dan menghulurkan bantuan, diambil kesempatan oleh golongan tidak jujur berkenaan.

“Rakyat tertipu kerana mereka suka membantu (golongan memerlukan) melalui dana awam. Mereka sangkakan duit didermakan itu untuk (membantu) orang susah. Contohnya, mangsa bencana banjir besar di Aceh, Sumatera.

“Namun (sifat pemurah) diambil kesempatan organisasi ini. Saya dapati ada organisasi ini (NGO) termasuk yayasan (disiasat SPRM) didaftarkan bawah Jabatan Pendaftaran Pertubuhan Malaysia (ROS),” katanya.

Namun, beliau mempersoalkan pihak yang seharusnya memantau kegiatan NGO dan yayasan itu.

“Ini duit rakyat. (tetapi) rakyat kena tipu. Katanya duit (derma) dihantar ke Palestin tetapi ada ditukar kepada bentuk emas. Kenapa? Ke mana duit derma itu?

“Kami (SPRM) bukanlah agensi yang mengetuai semua perkara. Jabatan masing-masing perlu peka tentang apa yang berlaku. Kementerian-kementerian tertentu perlu pantau dan buka mata,” katanya.

Menurutnya, SPRM sebelum ini sudah mengambil inisiatif membabitkan tindakan terhadap beberapa NGO yang melakukan penyelewengan dana awam.

“Ada ribuan NGO di luar sana yang berdaftar bawah ROS (namun) kami fokuskan kepada NGO yang terlalu obvious (ketara). NGO sebegini sentiasa bawah pemantauan SPRM,” katanya.

SPRM sebelum ini pernah mengambil tindakan terhadap beberapa NGO berkaitan penyelewengan dana derma membabitkan NGO Kemanusiaan Syria dan Palestin kerana penyelewengan hampir RM100 juta.

Kes-kes itu membabitkan penyalahgunaan wang sumbangan orang ramai untuk tujuan peribadi, pembelian aset mewah, pembelian mata wang digital kripto, atau kegunaan selain objektif asal NGO.

Tindakan membabitkan pengerusi dan pegawai kewangan NGO berkenaan menerusi pembekuan akaun, selain tindakan mengikut Seksyen 23 Akta SPRM 2009 serta Seksyen 4(1) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil daripada Aktiviti Haram 2001 (AMLATFPUAA 2001).

🔗 Source: https://www.mediatelus.com/detail/13517

Comments

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *