Ahmad Zahid bebas, tidak boleh didakwa lagi – Peguam Negara

KUALA LUMPUR – Keputusan Jabatan Peguam Negara (AGC) bahawa tiada tindakan lanjut (NFA) bagi kes Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi bermaksud Timbalan Perdana Menteri itu bebas dan tidak boleh didakwa lagi.

Peguam Negara, Tan Sri Mohd. Dusuki Mokhtar berkata, keputusan itu bukan secara suka-suka, sebaliknya dibuat dengan penelitian menyeluruh terhadap siasatan dan penilaian pendakwaan berdasarkan Perkara 145 Perlembagaan Persekutuan yang memperuntukkan kuasa kepadanya untuk memulakan, menjalankan atau memberhentikan sebarang prosiding.

“(Ahmad Zahid) bebas secara muktamad, mutlak tiada masalah. Jadi, beliau tidak boleh didakwa lagi. Kita menggunakan kuasa di bawah undang-undang apabila melihat enam representasi. Saya bertindak bukan atas suka-suka, ia adalah berdasarkan fakta undang-undang yang dibangkitkan,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas Majlis Pembukaan Tahun Perundangan 2026 di Pusat Pameran dan Perdagangan Antarabangsa Malaysia (MITEC), di sini hari ini.

Pada 8 Januari lalu, AGC memutuskan NFA terhadap Presiden UMNO itu bagi 47 pertuduhan berkaitan pecah amanah, rasuah dan pengubahan wang haram dana Yayasan Akalbudi.

Keputusan itu dibuat susulan penelitian terhadap keseluruhan siasatan dan keterangan baharu selepas Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada 4 September 2023 mengumumkan DNAA (melepas tanpa membebaskan) Ahmad Zahid atas pertuduhan itu.

Ditanya pendakwaan kes tersebut mempunyai prima facie, Mohd. Dusuki berkata, pihaknya menggunakan kuasa yang diperuntukkan di bawah undang-undang dan penelitian lanjut terhadap siasatan.

Beliau berkata, terdapat pelbagai aliran kewangan dan isu utama dikenal pasti yang akhirnya melemahkan kes pendakwaan.

“Oleh itu, kuasa digunakan untuk tidak meneruskan pendakwaan kerana keadaan dan fakta kes telah berubah. Siasatan yang dijalankan adalah komprehensif. Ketika pertuduhan terhadap Ahmad Zahid difailkan sebelum ini, terdapat beberapa kekurangan dalam siasatan pada peringkat awal.

“Persoalan mengenai prima facie dikaji semula kerana fakta-fakta baharu diteliti semula. Keadaan ini menjadikan kes tersebut tidak lagi diteruskan. Namun demikian, keputusan hakim berhubung kewujudan prima facie tetap dihormati,” katanya.

Beliau berkata, terdapat kes-kes lain apabila tertuduh dipanggil membela diri dan disabitkan oleh Mahkamah Tinggi, namun apabila dibawa ke Mahkamah Rayuan, mahkamah mendapati terdapat keperluan untuk mengurangkan hukuman.

“Situasi sebegini bukan sesuatu yang luar biasa dalam proses kehakiman. Oleh itu, pandangan keputusan ini dibuat secara suka-suka adalah tidak tepat. Keputusan yang diambil adalah berdasarkan undang-undang, fakta kes dan tidak memungkinkan kes diteruskan kerana kes dilute (kes lemah),” katanya. – KOSMO! ONLINE

🔗 Source: https://www.kosmo.com.my/2026/01/12/ahmad-zahid-bebas-tidak-boleh-didakwa-lagi-peguam-negara/

Comments

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *