BAP mula diagih hari ini, bergantung persediaan sekolah

PUTRAJAYA- Bantuan Awal Persekolahan (BAP) dijangka diberikan kepada setiap pelajar bermula hari ini bergantung kepada persediaan setiap sekolah dalam melaksanakan agihan berkenaan.

Timbalan Ketua Setiausaha (Pengurusan) Kementerian Pendidikan (KPM), Datuk Ahmad Suhaimi Endut berkata, ia berikutan penyaluran wang bantuan telah dilakukan sejak minggu lalu kepada setiap sekolah.

“Duit sudah dimasukkan sejak minggu lepas. Jadi, kalau ada sekolah yang sudah bersedia, hari ini pun sudah boleh mula bergerak.

“Tapi memandangkan duit ini diagihkan secara tunai dan perlu pengiring polis, mungkin sekolah perlu buat persediaan kerana duit ini jumlahnya besar,” katanya ketika ditemui pemberita selepas meninjau hari pertama persekolahan sesi 2026 di Sekolah Menengah Kebangsaan Putrajaya Presint 18(1) di sini hari ini.

Mengulas lanjut, beliau meminta agar ibu bapa terlibat secara langsung dalam pengambilan bantuan itu untuk mengelak salah guna oleh pelajar.

“Kalau boleh kita nak melibatkan ibu bapa supaya mereka prihatin dengan apa yang berlaku di sekolah dan keperluan anak-anak.

“Kita tidak mahu bantuan ini sampai kepada anak sahaja, lepas itu dibelanjakan sesuka hati.

“Pernah berlaku sebelum ini, pelajar hanya serah sebahagian daripada jumlah sebenar. Sepatutnya terima RM150, dia beritahu ibu bapa hanya dapat RM100,” katanya.

Minggu lalu, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, yang juga Menteri Kewangan mengumumkan peruntukan RM800 juta bagi menyediakan BAP sebanyak RM150 kepada semua pelajar tahun satu hingga tingkatan enam tahun ini.

BAP adalah bantuan tunai secara sekali bayar berjumlah RM150 diberikan kepada 5.2 juta murid bagi mengurangkan beban perbelanjaan ibu bapa atau penjaga dalam menyediakan keperluan persekolahan. – KOSMO! ONLINE

🔗 Source: https://www.kosmo.com.my/2026/01/12/bap-mula-diagih-hari-ini-bergantung-persediaan-sekolah/

Comments

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *