PETALING JAYA – Menerima kecaman netizen gara-gara berkongsi gambar bersama seorang ‘wanita’ di media sosial, isteri kepada pelakon Remy Ishak iaitu Ezza Yusof mempertahankan tindakan suaminya itu.
Ezza sedia maklum gambar yang dikongsikan terbabit adalah hasil janaan kecerdasan buatan (AI) dan mengakui semua itu hanya gurauan semata-mata dengan Remy, 44.
“Kami bergurau memang begini. Jangan ambil hati, ya,” demikian penjelasan ringkas Ezza menerusi Threads.
Dalam hantaran yang sama, Ezza memuat naik tangkap layar memaparkan Remy berkongsi foto bersama wanita itu kepadanya.
Sudah terbiasa dengan cara Remy, Ezza berseloroh menyifatkan tindakannya itu sebagai ‘gila’.
“Kenapa ada dimple (lesung pipit) juga,” soal Ezza dalam tangkap layar dikongsikan.
Remy kemudian menjawab: “Manalah aku tahu. ChatGPT punya kerja. Saya nak muat naik ke IG Story.”
Sebelum ini, aktor itu dituduh tidak menghormati isteri kerana memuat naik gambar menunjukkan dirinya bersama wanita hasil ciptaan AI.
Bagaimanapun, perkongsian Remy itu sudah dipadam selepas mendapat kecaman daripada netizen yang rata-rata menyifatkannya tidak menghormati perasaan isteri. – KOSMO! ONLINE

Leave a Reply