Liverpool elak tragedi pahit 2008

LIVERPOOL – Jurang kualiti tidak memberikan ‘lesen besar’ buat Liverpool untuk mengambil mudah cabaran Barnsley ketika kedua-dua pasukan bertemu di pusingan ketiga Piala FA di Anfield awal pagi esok.

Kapten The Reds, Virgil van Dijk menegaskan seluruh pasukan tidak pernah merendahkan kualiti yang ada pada Barnsley walaupun ramai memilih Liverpool untuk menang.

Van Dijk juga merasakan setiap pemain perlu tampil sehabis baik bagi membina semula reputasi memandangkan mereka pernah dipalit isu prestasi sebelum ini.

“Saya tidak sabar untuk mengharungi Piala FA, begitu juga saingan Liga Juara-Juara Eropah. Masih banyak perlawanan perlu dimainkan dan ia memberi peluang buat kami tunjukkan bahawa kami adalah Liverpool, juara bertahan Liga Perdana Inggeris.

“Setiap pertandingan adalah penting, begitu juga dengan Piala FA. Barnsley akan cuba apa saja untuk teruskan kemaraan, jadi kami kena bersedia untuk hadapi tentangan daripada mereka,” katanya.

Kali terakhir Barnsley bertandang ke Anfield adalah pada 2008, juga di pentas Piala FA yang menyaksikan The Colliers meraih kemenangan sensasi 2-1.

Pengurus The Reds, Arne Slot ketika ini turut menaruh harapan dapat menggunakan khidmat Hugo Ekitike, namun harus menyediakan pelan B jika penyerang antarabangsa Perancis itu belum sempat cergas.

Bagaimanapun, Liverpool dijangka merehatkan bintang utama dengan mempertaruhkan ramai pemain akademi termasuk memberikan peluang kepada penyerang muda berusia 19 tahun, Keyrol Figueroa mengetuai jentera serangan. – AGENSI

🔗 Source: https://www.kosmo.com.my/2026/01/12/liverpool-elak-tragedi-pahit-2008/

Comments

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *