Miliki enam rumah sewa, dakwaan lelaki terima STR cetus kritikan

Sumbangan Tunai Rahmah (STR) merupakan inisiatif bantuan kewangan tunai secara langsung yang disalurkan oleh Lembaga Hasil Dalam Negeri Malaysia (LHDNM) kepada golongan berpendapatan rendah dan sederhana bagi meringankan beban kos sara hidup rakyat.

Namun, baru-baru ini, satu hantaran di media sosial mencetuskan perdebatan hangat apabila seorang lelaki mendakwa dia masih menerima STR dan bantuan MyKasih walaupun mengakui memiliki enam buah rumah sewa.

Dakwaan itu mengundang pelbagai reaksi netizen, termasuk desakan agar pihak berkuasa menyiasat kelayakan penerima terbabit.

Menerusi hantaran berkenaan, individu tersebut menjelaskan bahawa dia memilih untuk kekal dalam kategori B40 bagi memastikan anak-anaknya berpeluang menerima biasiswa kerajaan termasuk tajaan Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA). Malah, dia menyifatkan bantuan STR yang diterima jauh lebih kecil nilainya berbanding manfaat jangka panjang pendidikan anak-anak.

Kenyataan itu bagaimanapun mencetuskan persepsi negatif, dengan sebahagian netizen mendakwa wujud kemungkinan ketirisan bantuan, selain mempersoalkan keadilan sistem penyasaran STR kepada golongan yang benar-benar memerlukan.

Susulan penularan hantaran tersebut, beberapa netizen dilaporkan telah membuat aduan rasmi kepada Lembaga Hasil Dalam Negeri Malaysia (LHDNM) bagi menggesa semakan serta tindakan lanjut dilakukan terhadap kelayakan penerima bantuan berkenaan.

🔗 Source: https://thereporter.my/miliki-enam-rumah-sewa-dakwaan-lelaki-terima-str-cetus-kritikan/

Comments

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *