KUALA LUMPUR 12 Jan – Angkatan Tentera Malaysia (ATM) diingatkan supaya menamatkan sepenuhnya amalan buli, penindasan serta budaya hedonisme yang tidak berakhlak melalui penguatkuasaan peraturan dan disiplin yang lebih tegas di semua peringkat.
Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, kementerian dan ATM sememangnya telah lama mengharamkan sebarang kegiatan tidak bersahsiah di semua kem tentera di seluruh negara, selain menetapkan peraturan serta garis panduan yang jelas berkaitan aktiviti sosial dalam kem.
“Panggillah dengan apa nama sekalipun, ‘yeye’, ‘yaya’ atau apa sahaja, ia adalah perkara keji, tidak bermoral dan bercanggah dengan tradisi hidup Islam.
“Lebih-lebih lagi dengan penubuhan Kor Agama Angkatan Tentera (KAGAT) yang sepatutnya membendung apa-apa unsur mungkar dalam kalangan anggota kita,” katanya ketika berucap dalam Perutusan Tahun Baharu 2026 di Wisma Perwira di sini pada Isnin.
Menurut beliau, aktiviti haram dan tidak bermoral sedemikian tidak seharusnya lagi berlaku di mana-mana kem ATM, malah tiada sesiapa pun wajar menerima sebarang bentuk perlecehan hak asasi.
“Tiada wanita harus dijadikan objek seks dan hiburan di mess dan Wisma Perwira kita.
“Kepada sesiapa sahaja yang terlibat dalam semua kemungkaran moral ini, yang merosakkan imej mulia ATM, kita akan pastikan anda dihukum dan disingkirkan dengan keji daripada perkhidmatan,” ujarnya.
Beliau menegaskan, kementerian sebelum ini tidak pernah teragak-agak untuk mengambil tindakan tegas serta menjatuhkan hukuman berat terhadap setiap pelaku kesalahan sedemikian.
“Jadi, jangan fikir ini amaran kosong! Begitu juga mereka yang menghabiskan masa dengan bermain golf di luar waktu yang dibenarkan atau bersembang kosong di kedai kopi semasa waktu bekerja, disiplin ketenteraan akan kita tegaskan dan kuatkuasakan.
“Masa bekerja ialah masa untuk kerja-kerja yang bermanfaat dan membangun, bukan sebaliknya,” katanya.
Tambah beliau, anggota ATM perlu kembali mematuhi waktu kerja sebenar serta melaksanakan tugas dengan bersungguh-sungguh, sejajar dengan jati diri seorang pahlawan yang budiman.
“Masa bekerja juga bukan untuk bersosial di media sosial, dan segala pandangan kita di media sosial mestilah memaparkan etika sebagai anggota pertahanan negara. Jangan sebarkan berita tidak benar, komen yang tidak sahih dan prejudis yang merosakkan perpaduan negara,” ujarnya.
Turut hadir, Pemangku Panglima Angkatan Tentera, Laksamana Tan Sri Zulhelmy Ithnain.
🔗 Source: https://www.mediatelus.com/detail/13533

Leave a Reply