Polis siasat anggotanya tiba-tiba tampar penunggang motosikal di stesen minyak di JB

JOHOR BAHRU 12 Jan – Polis mengesan satu rakaman video tular yang memaparkan seorang penunggang motosikal ditampar oleh seorang individu di sebuah stesen minyak di Taman Perling, di sini.

Pemangku Ketua Polis Daerah Johor Bahru Utara, Superintenden Azrol Anuar Nor berkata, video berkenaan dimuat naik oleh pemilik akaun Facebook ‘Komuniti Johor’ dan kejadian itu dipercayai berlaku kira-kira jam 6.50 petang pada 11 Januari lalu.

“Siasatan awal mendapati individu yang terlibat dikenal pasti sebagai seorang anggota polis yang bertugas di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Johor Bahru Utara dan berada dalam tempoh cuti semasa kejadian berlaku,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Menurut beliau, setakat ini pihak polis belum menerima sebarang laporan berhubung kejadian itu, namun mangsa telah dikenal pasti dan usaha mengesannya sedang dijalankan bagi membantu siasatan.

“Polis memandang serius sebarang kesalahan atau salah laku yang membabitkan pegawai dan anggota polis. Sehubungan itu, satu siasatan dalaman telah dibuka dan tindakan tegas akan diambil sekiranya didapati berlaku pelanggaran undang-undang atau tatakelakuan yang ditetapkan,” katanya.

Dalam pada itu, orang ramai dinasihatkan supaya tidak membuat sebarang spekulasi berhubung insiden berkenaan dan diminta tampil memberikan kerjasama sekiranya mempunyai maklumat berkaitan kejadian.

Polis memberi jaminan bahawa siasatan akan dijalankan secara telus, adil dan berintegriti.

🔗 Source: https://www.mediatelus.com/detail/13537

Comments

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *