TANJUNG MALIM – Pementasan teater tradisional Mek Mulung tAfrot di Dewan Tuanku Canselor, Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) Kampus Sultan Azlan Shah di Bandar Proton, Tanjung Malim pada Jumaat dan Sabtu lalu berjaya menarik perhatian hampir 10,000 generasi muda yang menyemarakkan lagi populariti warisan negara.
Ketua Pengarah JKKN, Mohd. Amran Mohd. Haris berkata, pementasan teater selama dua hari itu terbukti menunjukkan penerimaan yang luar biasa daripada golongan muda khususnya pelajar universiti malah kanak-kanak.
“Alhamdulillah, saya nampak penerimaan generasi muda bila ada elemen-elemen sense of humor dan nampak loghat Kedah ini masih boleh diterima oleh semua generasi, peringkat umur.
“Kalau nak dibandingkan Mak Yong, mungkin ada menghadapi kesukaran sedikitlah untuk memahami dialek-dialek yang berkaitan,” katanya kepada Kosmo! di Tanjung Malim kelmarin.
Katanya lagi, dialek Kedah masih boleh diterima oleh semua peringkat umur selain mereka boleh menikmati dan menghayati mesej yang ingin disampaikan.
“Bagi saya pementasan teater Mek Mulung ‘Afrot’ ini sewajarnya diteruskan. Kami JKKN sebagai agensi yang menggerakkan dan juga menyemarakkan untuk pementasan karya-karya teater moden serta tradisional.
“Sebab itu, saya tak fokus hanya pada ibu pejabat sahaja. Saya mewakilkan tanggungjawab ini kepada semua negara, jadi bukan setakat dapat menyemarakkan teater di seluruh negara malahan dapat menghidupkan NGO-NGO (pertubuhan bukan kerajaan) di negeri-negeri,” katanya.
Menggabungkan elemen tradisi, mitos dan nilai kemanusiaan yang mendalam, pementasan teater Mek Mulung ‘Afrot’ mengajak penonton merenung makna sebenar perjuangan dalam mempertahankan hak dan mencari keadilan.
Pementasan itu merupakana salah satu usaha pembangunan dan pelestarian Mek Mulung yang telah tersenarai sebagai Warisan Budaya Tidak Ketara yang Memerlukan Perlindungan Segera oleh UNESCO pada 5 Disember 2023.
Berkenaan peranan JKKN dalam usaha mempromosi Tahun Melawat Malaysia 2026 (TMM 2026), Mohd. Amran berkata, elemen pementasan dan keseniaan menjadi tulang belakang kepada satu pembentukan jati diri.
“Usaha memartabatkan seni budaya (negara) memang terus dilaksanakan. Kami perlu merangka program sebaiknya dan berkolaborasi dengan agensi-agensi untuk memenuhi kehendak industri pelancongan itu sendiri.
“Kita harap adanya sokongan berterusan daripada pihak berkepentingan, kementerian-kementerian yang menyediakan dana supaya karya-karya seni budaya ini menyokong usaha TMM 2026 ini akan seiringan,” katanya.
Beliau berharap JKKN mempunyai panggung atau premis sendiri yang membolehkan pementasan teater dan aktivi kesenian lain secara tetap untuk pelancong antarabangsa menghayati keunikan seni budaya yang ada di negara ini.
“Setakat ini, kita memang tiada premis tetap. Memang pernah diusahakan Auditorium Mini Kompleks Pelancongan Malaysia (MaTiC) Kuala Lumpur sebagai pusat sehenti untuk seni persembahan.
“Usaha semua pihak perlu digembeling supaya ada persembahan dan kolaborasi dengan pihak ejen pelancongan dan industri untuk membawa pelancong datang namun kami memang mengharapkan JKKN mempunyai kompleks sendiri,” katanya.
🔗 Source: https://www.kosmo.com.my/2026/01/12/teater-mek-mulung-pikat-10000-generasi-muda/

Leave a Reply