Seorang bekas pelakon kanak-kanak tampil membuat pendedahan mengejutkan apabila mendakwa menjadi mangsa gangguan seksual sejak usia kecil ketika bergiat aktif dalam dunia lakonan.
Menurut kenyataannya, dia mula berlakon sekitar usia lapan tahun demi membantu keluarga yang hidup dalam serba kekurangan. Disebabkan kekangan hidup, dia berhijrah dari Johor ke Kuala Lumpur dan tinggal di rumah saudara terdekat, namun mendakwa di situlah bermulanya episod hitam dalam hidupnya.
Bekas pelakon itu mendakwa dirinya dipaksa melakukan perbuatan tidak bermoral oleh individu yang mempunyai hubungan darah dengannya dan penderitaan itu berlarutan selama bertahun-tahun sehingga dia melarikan diri dari rumah berkenaan ketika berusia sekitar 16 atau 17 tahun
“Di sebalik wajah ceria dan kehidupan yang nampak indah sebagai pelakon kanak-kanak, hakikatnya saya memendam trauma dan dendam yang tidak pernah hilang,” katanya.
Lebih menyayat hati, dia mendakwa bukan dirinya sahaja menjadi mangsa, malah adik kandungnya sendiri turut pernah mengalami gangguan oleh individu sama. Bekas pelakon itu percaya terdapat lebih ramai pelakon kanak-kanak lain yang pernah atau sedang menjadi mangsa, namun memilih untuk berdiam diri kerana takut dan terikat dengan hubungan kekeluargaan.
Dia turut mendedahkan bahawa pelaku masih bebas dan didakwa terus mendekati kanak-kanak lain dengan berselindung di sebalik imej ‘topeng manusia’, termasuk aktif memuat naik gambar bersama kanak-kanak di media sosial.
Pendedahan ini dibuat, menurutnya, bukan untuk membuka aib, tetapi sebagai amaran keras kepada ibu bapa dan industri hiburan bahawa dunia lakonan kanak-kanak tidak seindah yang disangka.
“Saya bersumpah atas nama Allah, ini benar. Saya tidak mahu pelakon kanak-kanak hari ini melalui perkara jijik yang pernah saya hadapi,” tegasnya.
🔗 Source: https://thereporter.my/bekas-pelakon-kanak-kanak-dakwa-jadi-mangsa-serangan-seksual-sejak-kecil/

Leave a Reply