KUALA LUMPUR 13 Jan – Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) mengeluarkan sebanyak 21 tindakan sita dan pindah barangan perniagaan serta notis kompaun bagi membanteras aktiviti penjaja warga asing di sekitar Pasar Borong Kuala Lumpur.
DBKL dalam satu kenyataan memaklumkan, tindakan penguatkuasaan harian dijalankan terhadap aktiviti perniagaan tanpa lesen oleh warga asing di sekitar Jalan 1/3A dan Jalan 2/3A, Pusat Bandar Utara, Pasar Borong Kuala Lumpur bermula 5 Januari hingga kelmarin.
Menurutnya, pemeriksaan dan pemantauan dilakukan terhadap premis perniagaan barangan borong, restoran makanan serta penjaja sayur-sayuran dan buah-buahan yang beroperasi tanpa lesen, melanggar syarat lesen, dikendalikan warga asing serta menyebabkan halangan di tempat awam.
“Pemantauan dan tindakan turut diambil terhadap kenderaan yang menghalang lalu lintas di sekitar kawasan tumpuan aktiviti perniagaan,” katanya.
Hasil operasi tersebut, DBKL mengeluarkan enam notis kompaun atas pelbagai kesalahan mengikut Undang-undang Kecil (UUK) Pelesenan Tred Perniagaan (Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur) 2016, satu notis kompaun di bawah Akta Jalan, Parit dan Bangunan 1974 serta 10 notis kompaun terhadap kenderaan yang menghalang lalu lintas mengikut Kaedah-Kaedah Lalu Lintas Jalan 1959.
Selain itu, DBKL turut melaksanakan 21 tindakan sita dan pindah barangan perniagaan termasuk barangan basah seperti ikan, ayam dan udang, selain sayur-sayuran, buah-buahan serta peralatan perniagaan lain yang dikendalikan tanpa lesen oleh warga asing.
“Kesemua barangan yang disita dihantar ke stor sitaan DBKL untuk tujuan rekod dan dokumentasi,” katanya.
DBKL menegaskan, pihaknya akan meneruskan pemantauan dan tindakan penguatkuasaan dari semasa ke semasa di lokasi tumpuan yang dikenal pasti bagi memastikan pematuhan undang-undang dan kelancaran aktiviti perniagaan di ibu negara.
🔗 Source: https://www.mediatelus.com/detail/13542

Leave a Reply