KULAI – Seorang warga Singapura yang dikesan menutup nombor pendaftaran kenderaan dipandunya untuk mengisi minyak petrol RON95 akan didakwa di mahkamah di sini, esok.
Ketua Polis Daerah Kulai, Asisten Komisioner Tan Seng Lee berkata, pendakwaan akan dibuat mengikut Seksyen 108(3)(E) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
“Tertuduh akan dibawa ke Mahkamah Majistret Kulai pada esok dan akan dituduh,” katanya menerusi kenyataan akhbar, hari ini.
Terdahulu, Seng Lee berkata, Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kulai menerima satu laporan berhubung video tular itu pada pukul 5 petang, 4 Januari lalu.
“Video yang berdurasi seminit 30 saat itu memaparkan sebuah Volkswagen Jetta warna perak yang bernombor pendaftaran dipaparkan LJ8967, sedang mengisi minyak menggunakan RON95 di Stesen Minyak Kulai di Batu 21/4, Jalan Johor Bahru – Air Hitam di sini.
“Siasatan lanjut terhadap pemilik kenderaan itu telah dijalankan mendapati nombor pendaftaran kereta sudah diubah. Nombor pendaftaran dan pemilik adalah pemegang status penduduk tetap (PR) Singapura,” jelasnya.
Seng Lee sebelum ini dilaporkan berkata, pihaknya akan mengambil tindakan saman ke atas pemilik kenderaan jika mendapati nombor pendaftaran kenderaan itu menyalahi peraturan yang ditetapkan.
Pengarah Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Negeri Johor, Lilis Saslinda Pornomo juga dilaporkan berkata, satu tindakan kes telah diambil ke atas pengusaha stesen minyak berkenaan, kerana pelanggaran Subperaturan 12A Peraturan-peraturan Kawalan Bekalan 1974, Akta Kawalan Bekalan (AKB) 1961.
Beliau dilaporkan berkata, tindakan itu diambil selepas hasil siasatan mendapati pihak pengusaha stesen minyak berkenaan disyaki melanggar arahan Pengawal Bekalan iaitu mengenai larangan penjualan minyak petrol RON 95 kepada kenderaan pendaftaran asing. – KOSMO! ONLINE
🔗 Source: https://www.kosmo.com.my/2026/01/13/lelaki-singapura-salotape-nombor-plat-isi-ron95-didakwa-esok/

Leave a Reply