DBP desak tindakan tegas premis abaikan bahasa kebangsaan

Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) menzahirkan rasa amat kecewa terhadap segelintir pemilik premis perniagaan yang masih berdegil mengetepikan penggunaan bahasa kebangsaan pada papan tanda dan iklan premis mereka, meskipun peraturan jelas telah ditetapkan.

Menurut DBP, isu penggunaan bahasa asing pada papan premis perniagaan yang kembali tular di media sosial membuktikan masih wujud pihak yang sengaja melanggar peraturan demi kepentingan perniagaan semata-mata.

Tegas DBP, tindakan meminggirkan bahasa kebangsaan merupakan satu pelanggaran nyata terhadap Perkara 152 Perlembagaan Persekutuan serta Akta Bahasa Kebangsaan 1963/67 yang menetapkan bahasa Melayu sebagai bahasa rasmi dan tunjang jati diri negara.

DBP turut mengingatkan bahawa penggunaan bahasa kebangsaan pada papan iklan dan papan tanda premis perniagaan bukan satu pilihan, sebaliknya satu kewajipan yang mesti dipatuhi oleh semua pengusaha. Mengikut Undang-Undang Kecil Iklan Pihak Berkuasa Tempatan (PBT), bahasa kebangsaan wajib dipaparkan secara jelas, bersaiz lebih besar dan di kedudukan utama berbanding bahasa lain.

“Masih terdapat pemilik premis yang memberikan keutamaan kepada bahasa asing sehingga membelakangkan jati diri kebangsaan. Sikap tidak bertanggungjawab ini tidak boleh diterima sama sekali atas alasan mengejar keuntungan perniagaan,” menurut kenyataan itu.

DBP menegaskan kegagalan berulang ini menunjukkan pendekatan nasihat dan bimbingan sebelum ini tidak lagi berkesan. Sehubungan itu, DBP mendesak semua Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) agar mengambil tindakan penguatkuasaan paling tegas dan menyeluruh terhadap pemilik premis yang terbukti melanggar syarat lesen iklan.

Dalam masa sama, DBP turut memohon kerjasama orang ramai untuk terus melaporkan sebarang pelanggaran penggunaan bahasa di kawasan awam supaya tindakan sewajarnya dapat diambil oleh pihak berkuasa.

DBP melalui inisiatif DBP Sah Bahasa kekal bersedia membantu memastikan penggunaan bahasa pada iklan dan papan tanda mematuhi standard bahasa yang betul tanpa menjejaskan kreativiti perniagaan.

“Memartabatkan bahasa kebangsaan adalah tanggungjawab bersama sebagai tanda hormat kepada kedaulatan undang-undang dan maruah negara yang merdeka,” tegas DBP.

🔗 Source: https://thereporter.my/dbp-desak-tindakan-tegas-premis-abaikan-bahasa-kebangsaan/

Comments

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *