Kerajaan Madani terlibat langsung dalam misi Global Sumud Flotilla 2.0

KUALA LUMPUR 14 Jan – Kerajaan Madani akan terlibat secara langsung dalam misi kemanusiaan Global Sumud Flotilla 2.0 yang dijangka disertai lebih 80 negara dari seluruh dunia.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, perkara itu dibincangkan ketika beliau menerima kunjungan Ketua Pengarah Sumud Nusantara Command Center, Datuk Sani Araby yang juga Ketua Aktivis Kemanusiaan Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (MAPIM), bersama Pengasas Sumud Nusantara, Nadir Al-Nuri di Perdana Putra, petang semalam.

Menurut Anwar, beliau dimaklumkan bahawa situasi kemanusiaan di Gaza kini semakin meruncing susulan sekatan bantuan yang berpanjangan, ketidaktentuan konflik serta penderitaan rakyat Palestin yang terus dihimpit kekejaman.

“Datuk Sani dan Nadir turut berkongsi kejayaan Misi Sumud Nusantara yang berjaya memecahkan kebisuan masyarakat antarabangsa serta mengangkat suara Gaza ke pentas dunia.

“Kami juga membincangkan gerak kerja misi kemanusiaan seterusnya, termasuk peranan penting Kerajaan Malaysia dalam Global Sumud Flotilla 2.0 yang bakal melibatkan penyertaan lebih 80 negara,” katanya menerusi hantaran di media sosial, malam tadi.

Anwar berkata, misi Global Sumud Flotilla 2.0 merupakan kesinambungan perjuangan moral masyarakat antarabangsa yang menuntut keberanian dalam menegakkan keadilan dan hak kemanusiaan tanpa mengira sempadan, bangsa atau agama.

“Insya-Allah, kita akan menggerakkan segala kudrat untuk membantu dan memperjuangkan hak rakyat Palestin. Keadilan ini tidak boleh lagi ditangguhkan demi sebuah Palestin yang bermaruah dan merdeka,” katanya.

🔗 Source: https://www.mediatelus.com/detail/13571

Comments

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *