Pemandu lori maut tersepit dalam nahas dua kenderaan di Lebuhraya PLUS

TANGKAK 14 Jan – Seorang pemandu lori maut selepas tersepit di bawah kenderaan yang dipandunya dalam kemalangan melibatkan dua kenderaan di Kilometer 167.5 Lebuhraya Utara-Selatan (PLUS) arah selatan, awal pagi Rabu.

Komander Operasi, Penguasa Bomba Kanan II Mohd Khalid Mohd Aris dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Bukit Gambir berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu pada jam 5.27 pagi.

Menurut beliau, sepasukan anggota bomba terdiri daripada satu jentera Fire Rescue Tender (FRT), satu unit Perkhidmatan Penyelamatan Perawatan Kecemasan (EMRS) serta 16 anggota digerakkan ke lokasi kejadian yang terletak kira-kira 27 kilometer dari balai.

“Sebaik tiba di lokasi pada jam 5.55 pagi, didapati kemalangan melibatkan sebuah treler dan sebuah lori yang membawa muatan barangan perkakasan.

“Pemandu treler, lelaki berusia 34 tahun, mengalami kecederaan manakala pemandu lori jenis Hino disahkan meninggal dunia selepas tersepit di bawah lori yang dipandunya,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Beliau berkata, anggota bomba segera menjalankan operasi menyelamat bagi mengeluarkan mayat mangsa yang tersepit.

Menurutnya, pemandu treler yang cedera menerima rawatan sebelum diserahkan kepada pihak berkaitan, manakala mayat mangsa maut diserahkan kepada polis untuk tindakan lanjut.

Operasi menyelamat berjaya dikawal dan ditamatkan sepenuhnya pada jam 6.58 pagi.

🔗 Source: https://www.mediatelus.com/detail/13570

Comments

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *