Posisi pertahanan kiri Arsenal ‘lubuk’

LONDON – Arsenal menerima tamparan awal menjelang separuh akhir pertama Piala Liga Inggeris (EFL) menentang Chelsea di Stamford Bridge apabila Mikel Arteta memberi bayangan Piero Hincapie berdepan masalah kecergasan yang membimbangkan.

Pengendali The Gunners itu mengakui keadaan kapten Ecuador berkenaan bukan petanda positif selepas Hincapie terpaksa dikeluarkan ketika seri tanpa jaringan menentang Liverpool minggu lalu.

Situasi itu merumitkan perancangan Arsenal apabila Hincapie turut terlepas perlawanan Piala FA menentang Portsmouth hujung minggu lalu, sekali gus mencetus kebimbangan sama ada sempat pulih untuk diturunkan dalam pertembungan penting menentang Chelsea.

“Dia terpaksa dikeluarkan dan itu bukan petanda yang baik. Biasanya jika pemain keluar seperti itu, ia menunjukkan ada sesuatu yang perlu diberi perhatian,” kata Arteta.

Keresahan Arteta untuk aksi separuh akhir pertama di Stamford Bridge itu semakin bertambah apabila Riccardo Calafiori dan Cristhian Mosquera disahkan belum cergas sepenuhnya, sekali gus mengecilkan pilihan di benteng belakang Arsenal.

“Mereka masih belum boleh diturunkan tetapi saya fikir tidak lama lagi mereka akan memasuki peringkat terakhir pemulihan dan jika semuanya berjalan lancar akan kembali tidak lama lagi,” katanya.

Ketiadaan Hincapie sebelum ini memaksa Arteta menurunkan Myles Lewis-Skelly dalam Piala FA, namun persembahan goyah pemain muda itu menentang Portsmouth menimbulkan persoalan sama ada dia bersedia memikul tanggungjawab besar di Stamford Bridge.

Situasi itu meletakkan Arsenal dalam keadaan serba tidak menentu menjelang kunjungan ke kubu Chelsea, lebih-lebih lagi The Blues hadir dengan suntikan keyakinan selepas membelasah Charlton 5-1 dalam Piala FA. – AGENSI

🔗 Source: https://www.kosmo.com.my/2026/01/14/posisi-pertahanan-kiri-arsenal-lubuk/

Comments

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *